MELAKA – Malaysia dijangka menerima lambakan pelancong China untuk tahun ini apabila kerajaan negeri Melaka menyasarkan kedatangan kira-kira satu juta pelancong dari China sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024). Berbanding dengan pencapaian tahun lepas, pelancong China yang hadir ke Melaka adalah seramai 204,818 orang.
Timbalan Ketua Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri, Datuk Zaidi Attan berkata berbeza dengan edisi kali ini ialah pelancong China kini lebih memilih untuk menginap di hotel-hotel yang terdapat di negeri ini.
Zaidi berkata, sasaran satu juta pelancong dari China ke Melaka itu diyakini dapat dicapai menerusi pelbagai usaha dan kerjasama dengan pelbagai pihak antaranya kerjasama dengan anak syarikat kumpulan media berpengaruh di China, Golden Eagle Broadcasting System (GBS) iaitu Mango Media Sdn Bhd.
Kerjasama itu katanya bagi mempromosikan dan menarik kunjungan pelancong dari pelbagai wilayah republik itu.
Sementara itu, kerajaan negeri Melaka telah menerima kapal ‘Fu Ning’ yang membawa sembilan krew dan 12 penumpang di Pelabuhan Tanjung Bruas selama tujuh hari bermula hari ini, membuktikan hubungan rapat kerajaan Malaysia khususnya Melaka dengan China sejak dahulu.
Katanya, ketibaan kapal layar berukuran 41.6 meter (m) panjang, 12m lebar dan mempunyai ketinggian tiang utama 29m itu secara tidak langsung membantu Melaka mempromosikan struktur perkapalan selain struktur bangunan bersejarah yang terdapat di negeri itu sempena TMM 2024.
Konklusinya, hal ini menimbulkan sedikit persoalan apakah keistimewaan rakyat China sehingga kelihatan menjadi ‘hala tuju’ dan ‘sasaran’ utama kerajaan dalam sektor pelancongan yang mana tidak secara langsung membenarkan penyebaran ‘soft power’ atau kuasa lunak berbentuk budaya mereka secara mudah dan terang-terang di negara ini.