Shah Alam : Situasi Perang Taufan Al Aqsa telah masuk ke fasa yang semakin meruncing dan hak- hak kemanusiaan telah dicabul oleh Rejim Zionis yang semakin kejam. Perkara – perkara yang termaktub di dalam Hak Kemanusiaan Konvensyen Geneva telah dilanggar, dan undang- undang peperangan juga telah dicabul. Rejim Zionis juga telah menggunakan senjata dan bom yang diharamkan antarabangsa antaranya bom fosforus.
Ketua Penerangan BERJASA, Mohd Hamdan Mohd Sharif berkata kepada Gelombang BERJASA bahawa rejim pengganas Zionis Israel juga menyasarkan bom secara langsung ke atas sekolah – sekolah, hospital – hospital awam, rumah – rumah penempatan dan mengebom rakyat awam Gaza yang sedang mencari tempat berlindung serta anggota pasukan penyelamat yang sedang bertugas.
“Rejim Zionis dilihat secara jelas telah ghairah mencabul hak asasi kemanusiaan yang sepatutnya dinikmati oleh masyarakat Gaza yang tidak bersalah. Malahan yang terbaru rejim Zionis ini telah menyerang sebuah hospital yang menempatkan rakyat Gaza yang kebanyakannya terdiri daripada kanak-kanak dan wanita yang tidak bersalah”.
“Jadi di sini saya mewakili BERJASA mendesak kerajaan agar mengutuk dan menyatakan bantahan keras kepada rejim pengganas Israel, serta sekutunya USA dan UK kerana turut terlibat dan mendiamkan diri dalam isu besar ini dan membawa perbahasan isu kemanusiaan Palestin di Parlimen dan mendapatkan sokongan rasmi Ahli Parlimen Malaysia kepada Palestin”, tegas beliau.
Beliau juga menggesa agar dilaksanakan inisiatif bersama – sama negara – negara Islam yang lain melaksanakan bantuan kemanusiaan dan membuka saluran kecemasan ke Jalur Gaza dengan segera dan mendesak Mesir untuk membuka sempadan Rafah bagi tujuan tersebut. Ini boleh ditambah baik dengan mendesak Pertubuhan Kerjasama Negara – Negara Islam (OIC) untuk menekan Blok Rejim Pengganas Israel dengan segala kekuatan yang ada termasuk ketenteraan, politik, ekonomi, dan lain – lain.
“Saya berpendapat kerajaan juga boleh membawa suara dan tuntutan Kerajaan Hamas Palestin untuk dipenuhi dan disokong sepenuhnya serta mendesak perlaksanaan Resolusi 242 Majlis Keselamatan PBB dilaksanakan dengan segera dan dipatuhi Rejim Pengganas Israel dan negara – negara sekutu untuk berundur dari tanah Palestin yang dijajah.”.
“Apa-apa sekalipun, kita tidak boleh terlepas dengan menekan Artikel 49 Konvensyen Geneva yang menghalang pemindahan penjajah Rejim Zionis ke tanah – tanah Palestin dipatuhi sepenuhnya”, kata beliau.
Beliau mengakhiri kenyataannya dengan berharap, usaha dan tindakan Kerajaan perlu lebih efektif berbanding hanya panggilan telefon rasmi. Usaha di peringkat antarabangsa perlu disusun dan dilaksanakan dengan segera.