Kekurangan Guru: KPM Perlu Laksanakan Solusi Segera

Setiausaha Agung BERJASA, Zulkifli Yahya

Perak – Isu kekurangan guru masih lagi hangat diperdebatkan oleh kerajaan, pendidik mahupun rakyat sendiri.

Menurut laporan daripada akhbar The Star, subjek seperti Bahasa Melayu, Sejarah, Pendidikan Islam dan Bahasa Inggeris antara subjek yang kritikal akibat ketidakcukupan guru.

Dalam kenyataan daripada Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) memberitahu bahawa Malaysia mencatatkan kekurangan guru seramai 10,200 orang guru.

Bilangan ini menunjukkan betapa kritikalnya isu kekurangan guru di negara kita apatah lagi terdapat aduan daripada beberapa murid bahawa isu ini menjejaskan persediaan mereka dalam menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Setiausaha Agung BERJASA, Zulkifli Yahya ketika dihubungi berkata, isu kekurangan guru ini memang sudah lama berlaku dan menghantui sektor pendidikan negara kita.

Namun begitu, isu ini menjadi rumit apabila begitu ramai cikgu memilih untuk bersara awal daripada perkhidmatan.

Isu ini menyebabkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sukar menjangkakan berapa ramai lagi cikgu yang masih lagi dalam perkhidmatan dan berapa jumlah cikgu yang tamat perkhidmatannya.

“Guru-guru yang memilih untuk bersara awal ini trendnya semakin meningkat mungkin atas faktor bebanan guru kini yang semakin bertambah”.

“Ini menyebabkan isu kekurangan guru menjadi serius sehingga menjejaskan pembelajaran murid itu sendiri. Bayangkan di kala murid dalam persediaan menghadapi SPM dan guru mereka tiba-tiba bersara, persediaan mereka akan terjejas untuk peperiksaan”, jelas beliau.

Sewaktu ditanya berkenaan solusi yang boleh dimainkan oleh KPM untuk mengatasi isu ini, beliau menegaskan perlunya ada perbincangan dua hala antara KPM dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk mencari solusi tuntas dalam isu ini.

“KPM boleh mengadakan perbincangan secara dua hala bersama KPT untuk bersama-sama mencari solusi dalam menyelesaikan isu ini”>

“KPM dan KPT boleh mempertimbangkan cadangan untuk mewujudkan kembali diploma pendidikan bagi para graduan yang baharu sahaja tamat pengajian di universiti”.

“Memandangkan isu graduan menganggur yang masih berlaku lagi kini, eloklah cadangan ini dibuat dan dibuka kepada para graduan yang berbeza bidang disiplin untuk mereka diserap sebagai guru selepas selesai mengikuti kursus diploma ini”, kata beliau.

Menurut rekod yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan melalui Statistik Tenaga Buruh pada 2022, kadar pengangguran ialah sebanyak 3.6 peratus dan idea yang dibentangkan oleh beliau ini dijangka mampu mengurangkan peratusan pengangguran tersebut.

Beliau juga mengharapkan agar kerajaan terus serius dalam menyelesaikan isu ini dengan mengambil pendekatan yang proaktif bagi melindungi kesejahteraan guru-guru dan sektor pendidikan negara kita.

Teradhulu, isu lambakan tugas sehingga memberikan bebanan tambahan kepada guru menjadi faktor utama ramainya guru-guru memilih untuk bersara awal.

Seperti yang diterangkan oleh KPM baru-baru ini, pengambilan guru untuk lima tahun ke hadapan dijangka seramai 16,886 dan 20,081 untuk mengatasi isu kekurangan guru.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post
Ketua Pemuda BERJASA, Fahmi Bazlan

Kerajaan Tidak ‘Firm’, Keliru Dengan Keputusan Sendiri

Next Post
Naib Presiden BERJASA, Afif Badhrulhisham

kenderaan Elektrik Tesla: Peluang Malaysia Manfaatkan Sumber Mineral

Related Posts