Mengapa Tanah Rizab Melayu Penting Untuk Dipertahankan?

tanah rizab melayu

Isu mengenai tanah rizab Melayu (TRM) ataupun di dalam bahasa Inggerisnya dikenali sebagai “Malay reserve land” sering menjadi perbahasan dalam isu nasional.

Pendedahan daripada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad mengenai penurunan jumlah tanah rizab Melayu sebanyak 21,212 hektar nyata memberikan tamparan yang besar kepada orang Melayu.

Hal ini tidak ditambah lagi dengan kes penangkapan Pengarah Urusan sebuah syarikat yang melakukan jenayah rasuah untuk menukar status TRM di Sitiawan, Perak kepada pegangan bebas sehingga berjaya dibeli oleh orang bukan Melayu.

Maka wajar untuk isu melibatkan TRM ini dibangkitkan bagi memastikan semua orang Melayu cakna mengenai hak mereka ini daripada dicabuli oleh tangan-tangan jahat.

Apa Itu Tanah Rizab Melayu?

Tanah Rizab Melayu (TRM) adalah tanah yang telah dikhaskan untuk dimiliki, diurus, dan digunakan oleh orang Melayu sahaja.

Hal ini merupakan sebahagian daripada dasar kerajaan untuk melindungi hak pemilikan tanah bagi orang Melayu sebagai kaum bumiputera di Malaysia.

TRM telah diperkenalkan melalui Enakmen Rizab Melayu 1913 semasa pemerintahan British di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu iaitu Perak, Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang.

Selepas kemerdekaan, konsep ini diteruskan dan dilindungi oleh undang-undang setiap negeri di Semenanjung Malaysia dan pengurusan TRM ini terletak di bawah kuasa kerajaan negeri masing-masing.

Secara umumnya, terdapat tiga jenis TRM iaitu Rizab Melayu seperti di Kampung Baru, tanah Melayu yang diberikan hak milik terdiri daripada tanah-tanah yang sudah dibuka melebihi 40 tahun atau tanah-tanah yang tinggal yang diduduki oleh kaum Melayu semenjak merdeka seperti di Kampung Datuk Keramat dan Tanah Pertanian Melayu mengikut Enakmen Tanah 1987 seperti di beberapa kawasan di Terengganu dan Pahang.

Dari aspek pemilikan hartanah, ketiga-tiga tanah tersebut mempunyai sekatan yang tidak boleh ditukarmilik atau dijual kepada orang bukan Melayu.

Malah bagi kategori tanah kedua, syaratnya lebih ketat dimana kedudukan tanah ini disebut sebagai tanah yang diasingkan, tidak akan dipindahkan atau diduduki oleh bukan Melayu maka tanah ini tidak boleh dijual atau dipajakkan kepada orang bukan Melayu.

Selain itu, terdapat juga beberapa syarat untuk mengisytiharkan tanah tersebut sebagai tanah rizab Melayu iaitu tanah itu mesti:

  • Tanah yang belum lagi dimajukan atau digunakan untuk bercucuk tanam sahaja.
  • Jika 50 hektar tanah kawasan baru diisytiharkan maka satu kawasan lain yang belum dimajukan atau digunakan untuk bercucuk tanam seluas 50 hektar juga hendaklah disediakan untuk diberi milik kepada orang ramai termasuk Melayu.
  • Jika mana-mana kawasan Tanah Rizab Melayu itu dibatalkan sama ada keseluruhan atau sebahagian daripadanya (contohnya sebanyak 100 hektar), maka satu kawasan lain sebanyak 100 hektar juga di dalam negeri itu, yang sama jenis dan sama luasnya dengan kawasan yang dibatalkan itu hendaklah serta merta diisytiharkan sebagai ganti. Tanpa gantian, pembatalan itu adalah tidak sah.
  • Mana-mana tanah yang dimiliki atau diduduki, serta mempunyai hak atau kepentingan orang bukan Melayu tidak boleh diisytiharkan sebagai Tanah Rizab Melayu.
  • Mana-mana kawasan yang telah diisytiharkan sebagai Tanah Rizab Melayu hendaklah kekal sebagai rizab Melayu melainkan ianya diisytiharkan dan diwartakan sebagai batal oleh pihak yang bertanggungjawab.

Mengapa Ia Penting Untuk Orang Melayu?

Memang wujud sumber yang mengatakan TRM ini sebagai tanah kelas kedua dan ketiga kerana nilainya yang begitu rendah dibandingkan dengan tanah yang lain.

Hal ini disebabkan oleh keengganan pihak bank untuk menanggung risiko kerana bimbang mengalami kerugian atas sebab kuasa beli orang Melayu yang dikatakan begitu rendah.

Namun demikian, hal ini tetap tidak boleh mengetepikan tentang betapa pentingnya TRM ini untuk orang Melayu.

Masyarakat Melayu perlu sedar bahawa tanah adalah aset ekonomi yang kritikal yang mana pemilikan tanah membolehkan orang Melayu menjalankan kegiatan pertanian, perladangan, dan perniagaan kecil-kecilan.

Ekosistem perniagaan tani yang kukuh dapat dibina dalam kalangan orang Melayu jika mereka dapat memaksimumkan potensi dalam mengusahakan tanah ini denagn sebaiknya.

TRM membantu mengimbangi ketidaksamaan pemilikan tanah antara kaum di Malaysia, di mana sejarah penjajahan menyebabkan ramai orang Melayu kehilangan tanah akibat urbanisasi dan pembangunan.

Bukan itu sahaja malahan tidak kurang juga untuk mengatakan bahawa pemilikan tanah adalah simbol kuasa untuk sesuatu bangsa.

Sesuatu bangsa itu dapat melakukan apa sahaja dengan adanya pemegangan tanah dan menunjukkan siapa yang berkuasa di kawasan tersebut.

Tanpa penguasaan tanah ini, orang Melayu mungkin kehilangan tanah kepada pemaju atau pembeli bukan Melayu yang boleh membawa kepada peminggiran masyarakat Melayu di kawasan bandar dan luar bandar.

Maka menjadi satu kewajiban kepada semua orang Melayu untuk mempertahankan TRM demi kelangsungan masa depan masyarakat Melayu di Malaysia.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post
tanah rizab melayu

Tanah Rizab Melayu Susut Sebanyak 21,212 Hektar

Next Post
tugas mufti

Pindaan Akta 505 Akan Jejaskan Kuasa & Tugas Mufti?

Related Posts