KUALA LUMPUR, 16 Jun — Parti BERJASA menyeru semua parti politik yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dan Johor supaya mengutamakan calon yang berwibawa, berintegriti serta mempunyai komitmen untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara.
Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim berkata, pemilihan wakil rakyat bukan sekadar soal politik atau pentadbiran, sebaliknya melibatkan amanah besar kerana individu yang dipilih akan diberikan kuasa untuk menentukan hala tuju negeri dan rakyat.
“Walaupun PRN bukan untuk memilih imam solat, rakyat perlu sedar bahawa mereka sedang memilih individu yang akan diberikan kuasa. Kuasa itu hendaklah digunakan untuk menjaga agama, mempertahankan kepentingan rakyat dan memelihara kedaulatan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Calon Perlu Bawa Agenda Besar
Menurut Zamani, calon perlu memperkukuh Islam, memartabatkan Melayu dan mempertahankan kedaulatan negara
Beliau berkata, calon yang dipilih juga perlu memiliki kredibiliti dan keupayaan kepimpinan yang mampu meyakinkan rakyat.
“Jangan jadikan pilihan raya sebagai medan menghantar calon tangkap muat. Wakil rakyat perlu dilihat sebagai pemimpin yang bersedia memikul amanah rakyat, bukannya individu yang mengejar kepentingan peribadi atau kekayaan,” katanya.
Tambah beliau, wakil rakyat perlu berkhidmat kepada masyarakat, bukan mengumpul harta atau kepentingan peribadi.
Pertimbang Calon Melayu di Kawasan Majoriti Melayu
Dalam masa sama, Zamani berpandangan parti-parti politik perlu berani membuat keputusan yang selari dengan komposisi penduduk di sesuatu kawasan.
Beliau berkata faktor demografi pengundi tidak boleh diketepikan meskipun Malaysia sebuah negara majmuk.
Menurutnya, kawasan majoriti Melayu wajar diwakili calon Melayu yang dekat dengan aspirasi pengundi.
“Kita sering mempersoalkan mengapa kadar keluar mengundi dalam kalangan orang Melayu rendah. Namun pada masa yang sama, ada kawasan majoriti Melayu yang tidak diberikan calon Melayu sebagai pilihan.
“Apabila pengundi merasakan calon yang ditawarkan dekat dengan nilai dan pegangan mereka, kecenderungan untuk keluar mengundi juga lebih tinggi,” katanya.
Elak Budaya Membuka Aib Ketika Berkempen
Mengulas mengenai tempoh kempen pilihan raya, Zamani menyeru semua parti dan calon supaya mengamalkan budaya politik yang matang serta berteraskan nilai akhlak dan adab.
Beliau berkata, kempen pilihan raya seharusnya menjadi medan untuk membentangkan tawaran dasar, pelan pembangunan dan penyelesaian kepada masalah rakyat, bukannya platform untuk menyerang peribadi lawan politik.
“Jangan jadikan pentas kempen sebagai ruang untuk membuka aib atau menjatuhkan maruah pihak lain. Dalam Islam, menjaga aib seseorang adalah satu tuntutan yang perlu dihormati.
“Malangnya, ada ketika pentas kempen seolah-olah menjadi ruang yang menghalalkan pendedahan keaiban pihak lawan. Budaya seperti ini tidak selaras dengan tuntutan syarak dan tidak mencerminkan adab masyarakat Melayu yang tinggi nilai kesopanannya,” katanya.
Budaya Politik Sihat Perlu Diperkukuh
Sehubungan itu, Zamani menggesa semua pihak yang terlibat dalam PRN akan datang supaya menampilkan budaya politik yang lebih sihat dan bertanggungjawab.
Menurut beliau, parti-parti politik perlu memberi tumpuan kepada penawaran dasar, rekod perkhidmatan serta kemampuan mentadbir berbanding mengamalkan politik fitnah dan serangan peribadi.
“Pilihan raya sepatutnya menjadi medan persaingan idea dan tawaran terbaik kepada rakyat. Inilah budaya politik yang sihat yang perlu dibina bukan sahaja dalam PRN, tetapi juga dalam Pilihan Raya Umum pada masa akan datang,” katanya.