Hari ini, kita berhadapan dengan pelbagai bala dan kesengsaraan yang menimpa rakyat. Dari isu ekonomi yang meruncing, kos sara hidup yang melambung, hinggalah kepada kegagalan pengurusan krisis dan masalah tempatan yang tidak berkesudahan. Namun, persoalan paling besar yang perlu kita renung: Tapi sebelum kita terus menuding jari, mari kita tanya diri sendiri: siapa yang undi mereka? Jawapannya, kita sendiri. Kerana kita yang memilih mereka.
Kita marah, kita kutuk, kita gelak setiap kali pemimpin buat hal, buat kenyataan bodoh, gagal jalankan tugas. Tapi adakah kita sedar, semua itu hasil daripada undi kita sendiri? Kita yang undi mereka. Kita yang beri mereka kuasa. Dan kini, kita jugalah yang menanggung akibatnya. Bala tak turun tanpa sebab. Bila kita pilih pemimpin yang lemah, tak kompeten dan tak tahu buat kerja, maka kita mengundang bala ke atas diri sendiri, keluarga, dan negara.
Cukup-cukuplah mengundi atas dasar parti semata-mata. Sudah-sudahlah jadi taksub dengan warna bendera politik. Ada ramai lagi ahli akar umbi yang benar-benar mahu berkhidmat untuk masyarakat, yang faham denyut nadi kawasan sendiri. Tapi mereka diketepikan kerana bukan ‘orang kuat’ dalam parti. Ini yang rosakkan sistem.
Kita boleh tengok sendiri isu-isu yang berlaku sekarang seperti di Putra Heights, Dengkil, Raub dan banyak lagi. Bila yang menang tu jenis tak ambil kisah, selamatkan diri sendiri atau kroni sahaja, maka rakyatlah yang menderita. Setiap masalah jadi berlarutan, tiada penyelesaian, dan kita pula yang terpaksa telan pahitnya.
Ingat, kritik di media sosial takkan ubah apa-apa kalau kita masih ulang kesilapan sama di peti undi nanti. Jangan biarkan diri terus jadi mangsa kitaran bodoh ini. Dan kepada parti-parti politik, berhentilah jadikan kesetiaan membuta tuli sebagai ukuran. Letak calon yang bijak, berintegriti dan benar-benar mahu berkhidmat. Bukan calon bidan terjun yang hanya pandai menari di pentas ceramah.
Akhir sekali, jangan lupa semua ini akan dipersoal di akhirat kelak. Pilihan kita bukan sekadar undi, tapi amanah. Dan kalau yang kita pilih itu gagal, dosa dan tanggungjawabnya bukan atas bahu dia sahaja, tapi atas kita yang letak dia di tempat itu.
Najmi Aiman
Ketua Pemuda Berjasa Kota Raja