KUALA LUMPUR – 28 April: Penganjuran “Rain Rave Water Music Festival 2026” yang dipertahankan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing terus mengundang kritikan apabila dilihat mencetuskan persoalan lebih besar berkaitan arah identiti nasional negara.
Ketua Pemuda BERJASA, Ustaz Meor Azim berkata isu itu melibatkan identiti negara, bukan sekadar pilihan individu.
Menurut beliau, Malaysia bukan hanya sebuah entiti ekonomi, tetapi negara yang dibina atas asas nilai, budaya dan agama.
“Isu ini bukan tentang boleh hadir atau tidak hadir, tetapi apakah bentuk hiburan yang sedang dinormalisasikan sebagai wajah Malaysia,” katanya dalam satu ulasan hari ini.
“Bukan sekadar hiburan”
Meor Azim berkata festival berkonsepkan rave itu menerima kritikan kerana dikaitkan dengan unsur hedonisme, pergaulan bebas dan suasana sosial tanpa batas.
Walaupun dinafikan penganjur, katanya persepsi awam tetap terbentuk kerana konsep dan jemputan acara menyerupai budaya hiburan bebas global.
Beliau menegaskan bahawa dalam konteks Malaysia sebagai negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, perkara tersebut tidak boleh dipandang ringan.
Kritik pendekatan “tak suka jangan pergi”
Meor Azim menyifatkan kenyataan “tak setuju tak perlu hadir” sebagai hujah lemah dan tidak matang.
Katanya, kerajaan bukan sekadar pengurus acara, tetapi bertanggungjawab menjaga arah sosial negara.
“Jika logik ini diterima, maka semua bentuk hiburan boleh dilepaskan tanpa garis panduan dan akhirnya negara kehilangan kompas moralnya sendiri,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia mempunyai Perlembagaan, identiti budaya dan sensitiviti agama yang perlu dipelihara dalam mengurus masyarakat majmuk.
Persoal budaya import
Dalam pada itu, beliau mempersoalkan pendekatan membangunkan sektor pelancongan dengan membawa masuk budaya luar tanpa tapisan.
Katanya, perbandingan dengan festival antarabangsa seperti Songkran mungkin relevan dari sudut ekonomi, namun tidak semestinya sesuai dengan jati diri Malaysia.
“Malaysia tidak boleh sekadar menjadi platform hiburan global tanpa menjadi negara yang mempunyai identiti jelas,” katanya.
Amaran normalisasi budaya
Meor Azim turut mendakwa wujud kecenderungan menilai segala perkara berdasarkan pulangan ekonomi semata-mata sehingga sensitiviti agama dianggap sebagai halangan pembangunan.
Menurut beliau, keruntuhan nilai sosial tidak berlaku secara mendadak, tetapi melalui proses normalisasi secara berperingkat.
“Hari ini festival, esok budaya, akhirnya menjadi norma,” katanya.
Cadang garis panduan hiburan nasional
Sehubungan itu, Pemuda BERJASA mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan garis panduan hiburan nasional bagi setiap acara berskala besar, yang tidak sesekali menepikan elemen tempatan.
Antara cadangan dikemukakan termasuk penetapan batas pergaulan, etika berpakaian yang sesuai dengan identiti negara dan kawalan kandungan acara yang lebih mencerminkan budaya tempatan.
Beliau turut menggesa pembangunan hiburan beridentiti tempatan yang mendidik dan berteraskan budaya serta nilai masyarakat.
Pemuda BERJASA juga mencadangkan pelaksanaan polisi “cultural filtering” bagi memastikan tidak semua budaya luar diterima tanpa penilaian.
“Malaysia bukan sekadar ekonomi, pelancongan atau acara hiburan, tetapi negara berdaulat yang mempunyai identiti, nilai dan arah masa depan,” katanya.