Bangi – Ketirisan dan kepincangan dalam pengurusan bencana dipercayai menjadi punca kegagalan pihak berkuasa menangani masalah banjir luar biasa, baru-baru ini.
Malah, aspek pencegahan sebelum dan selepas bencana juga tidak disusun secara sempurna sehingga menyebabkan agensi yang menguruskan bencana gagal mengatasinya.
Selain itu, Setiausaha Agung BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim Mohamad berkata, tiada gerak kerja holistik juga menjadi punca kegagalan pihak berkuasa mengatasi kelemahan yang dialami saban tahun.
“Tidak nafikan kali ini banjir luar biasa tetapi sebenarnya kepincangan dalam pengurusan menjadikan kita gagal merawatnya.
“Kini kita dilanda masalah besar akibat ketirisan berkenaan, akibat daripada gerak kerja yang tidak sempurna.
“Kenapa tidak ada notifikasi atau menggerakkan penduduk yang terlibat serta menyediakan gerak kerja atau aset untuk hadapi banjir yang dilalui ini dihadapi saban tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program Dimensi, Urus Bencana: Kerajaan tidak Efisyen? yang disiarkan di Tv Pertiwi, malam ini.
Dalam masa sama, beliau mempersoalkan kegagalan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengkoordinasi kenaikan paras air laut berdasarkan cuaca sedangkan mereka mempunyai aset yang hebat.
Soalnya lagi, apakah pihak berkuasa tidak membuat persiapan atau persediaan yang serius dalam mendepani masalah ini.
“Tetapi bagi saya masih perlu lihat keberkesanan dan perlu lihat wang yang berbilion-bilion itu dibelanjakan,” katanya. – Sumber Ismaweb