Lambakan pendatang asing tanpa izin di Malaysia kini menjadi isu yang begitu hangat dibicarakan oleh semua pihak sama ada di kalangan rakyat mahupun ahli politik khususnya kerajaan yang memerintah.
Rakyat terutamanya melihat isu lambakan pendatang asing tanpa izin ini sebagai satu ancaman kepada keselamatan negara mahupun masyarakat kerana sudah banyak berlakunya kes jenayah berat yang melibatkan kumpulan mereka ini.
Tanpa mahu menafikan keterlibatan warga tempatan dalam kes-kes jenayah di Malaysia, pendatang asing tanpa izin (PATI) ini menjadi rumit isunya apabila mereka tidak akan dituntut sebagai rakyat oleh kedutaan mereka di Malaysia kerana tiada kelengkapan dokumen bersama mereka ketika berada di sini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan pada tahun lepas melaporkan jenayah yang dilakukan oleh warga asing di Malaysia makin meningkat dengan mencatatkan 20.09 peratus kes.
Akhirnya, mereka hanya dilambakkan di depot tahanan imigresen Malaysia dan menunggu dihantar pulang dengan kosnya ditanggung oleh kerajaan Malaysia.
Di sisi pihak majikan di Malaysia, mereka melihat kumpulan PATI ini sebagai peluang untuk mereka mendapatkan tenaga buruh dengan kos yang murah seterusnya menjimatkan kos overhed perniagaan mereka.
Namun demikian, mereka tidak sedar ataupun sengaja menutup mata bahawa lambakan kumpulan ini sebenarnya akan mendatangkan ancaman ataupun masalah yang kritikal kepada negara jika tidak dikawal.
Keselamatan Negara Tergugat Oleh Pendatang Asing Tanpa Izin
Kehadiran mereka ke Malaysia secara haram akan membawa kesan yang tidak baik kepada megara terutamanya dalam aspek ekonomi, sosial, politik dan jenayah berat.
PATI yang tidak direkodkan boleh terlibat dalam aktiviti jenayah seperti penyeludupan, pemerdagangan manusia, dan kegiatan haram lain, yang boleh mengganggu keamanan dan keselamatan negara.
Bukan itu sahaja malahan kita khuatir jika mereka semakin berani membawa ideologi ataupun fahaman yang ekstrem sehingga mampu menggugat kestabilan politik di negara kita.
Dakwaan ini dapat dibuktikan melalui penahanan seramai 213 orang yang terlibat dalam kegiatan ISIS (DAESH) termasuk 27 orang warga asing oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2016 hingga 2021.
Bukan itu sahaja malahan terdapat juga jenayah berat yang mereka lakukan seperti terlibat dalam aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan manusia seperti yang dilaporkan oleh banyak akhbar mendakwa terdapat warga asing yang mendalangi sindiket pemerdagangan manusia di Malaysia.
Selain itu, kehadiran PATI boleh menyebabkan persaingan yang tidak adil dalam pasaran buruh, terutama dalam sektor yang menawarkan gaji rendah.
Keadaan ini boleh menekan upah pekerja tempatan dan mengurangkan peluang pekerjaan kepada warga tempatan.
Kekhuatiran ini ada wajarnya kerana keadaan ini akan mewujudkan risiko ketidakpuasan dalam kalangan rakyat yang mungkin digunakan oleh pihak tertentu untuk meraih keuntungan politik seterusnya mengganggu kestabilan politik negara.
Dalam soal isu keselamatan kepada kesihatan rakyat pula, PATI yang tidak menjalani pemeriksaan kesihatan mungkin membawa penyakit berjangkit yang boleh menular kepada penduduk tempatan seterusnya memberi tekanan kepada sistem kesihatan negara.
Dengan kawasan tempat penginapan yang begitu sempit dan kotor disediakan oleh majikan, hal ini tidak mustahil akan mewujudkan gejala penyakit yang serius seterusnya merebak ke luar.
Kerajaan Wajib Bertindak Tegas Dalam Isu Ini
Selain daripada melakukan kawalan yang ketat terhadap sempadan negara sama ada di laut ataupun darat yang berisiko diceroboh oleh pendatang asing ini, terdapat dua cadangan yang ingin dikemukakan setelah meneliti perlunya ada penambah baikan untuk mengatasi isu ini.
Pertama, kerajaan dicadangkan untuk Memperkenalkan program pemutihan untuk memberikan peluang kepada PATI yang layak untuk mendapatkan status sah, sementara yang lain dihantar pulang.
Hal ini juga termasuk pengesahan pekerja asing secara berkala bagi memastikan mereka mematuhi undang-undang Malaysia.
Kedua, menambah baik undang-undang yang berkaitan dengan PATI dan memastikan hukuman yang lebih berat terhadap mereka yang terlibat dalam sindiket penyeludupan manusia atau mengeksploitasi PATI.
Namun demikian, undang-undang ini boleh ditambah baik dengan mengenakan hukuman yang berat kepada mana-mana pihak majikan yang menggajikan PATI sebagai pekerja di bawah syarikat mereka.
Sebaiknya pihak majikan sebegini ditarik lesen perniagan mereka dan dikenakan hukuman penjara yang berat bagi memastikan kesalahan yang mereka lakukan ini adalah berat sama seperti mengancam keselamatan negara.
Tindakan tegas oleh kerajaan dalam menangani isu PATI adalah penting untuk memastikan keselamatan negara, melindungi ekonomi dan pasaran buruh tempatan, serta menjaga kesejahteraan sosial dan kesihatan rakyat Malaysia.
Jika tidak diatasi dengan segera dan berkesan, masalah PATI akan terus membebankan negara dan menjejaskan masa depan Malaysia.
Oleh itu, kerajaan perlu bertindak dengan segera, berkesan dan tegas dalam mengatasi cabaran ini.