Hala Tuju Aset Digital Di Malaysia Masih Kabur

Baru-baru ini saya berkesempatan untuk bermusafir menyertai CoinFest Asia 2023 di Bali, Indonesia. Festival tahunan kali kedua ini mengumpulkan pemain industri seluruh dunia dalam sektor Blockchain bertumpu kepada perkembangan semasa dan jaringan ekosistem berkaitan Web3 serta aset digital. Berikut adalah beberapa dapatan yang saya boleh kongsikan bersama.

CoinFest Asia 2023 dianjurkan secara tahunan oleh Coinvestasi, sebuah agensi media yang terbesar di Indonesia yang memberi tumpuan kepada berita semasa, pendidikan dan kesedaran berkaitan aset digital dan blockchain. Indonesia dilihat cuba meletakkan negara mereka sebagai peneraju dunia blockchain bagi kawasan Asia Tenggara dengan mengenengahkan tokoh tempatan di kalangan pempengaruh dan tokoh antarbangsa.

Ini selari dengan hala tuju serta dasar negara dengan pelancaran Projek Garuda pada 30 November 2022 oleh Bank Indonesia. Inisiatif Central Bank Digital Currency (CBDC) ini ke arah pelaksanaan Digital Rupiah demi menjaga kedaulatan Rupiah di era digital ini untuk mengintegrasi ekonomi dan kewangan digital secara holistik (end-to-end). Digital Rupiah dilihat akan menjadi wang bank pusat yang menawarkan kualiti unggul iaitu stabil, selamat dan cekap malah kekal relevan untuk mengatasi pelbagai cabaran dalam era digital. Kertas dasar Projek Garuda ini disokong oleh Blueprint for Indonesian Payment System (IPSB) 2025 dan Blueprint for Money Market Development 2025.

Antara kemajuan penting perkembangan sektor aset digital di Indonesia adalah pengumuman dekri bertarikh 17 Julai 2023 yang lalu meluluskan 3 entiti penting dalam ekosistem aset digital iaitu (i) Crypto Asset Futures Exchange (CFX), (ii) Futures Clearing Institution for Guaranteeing and Settling Crypto Asset Physical Market Trading dan (iii) Crypto Asset Storage Management. Perdagangan aset digital ini di bawah seliaan Kementerian Perdagangan (Kemendag) melalui Badan Pengawas Perdagangan Berjangka Komoditi (Bappebti) Indonesia.

Jadi, bagaimana pula hala tuju Malaysia di dalam sektor aset digital ini ? Sehingga kini, merujuk kepada beberapa kenyataan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) hala tuju dan pelaksanaan CBDC di Malaysia masih kabur dan tidak menunjukkan perancangan yang jelas dan BNM meneruskan kajian serta penilaian terhadap keperluan pelaksanaannya. Boleh rujuk kertas dasar BNM, “Financial Sector Blueprint 2022-2026”. Malaysia juga terlibat di dalam sebuah projek rentas sempadan dipanggil Projek Dunbar yang melibatkan bank pusat Australia, Malaysia, Singapura dan Afrika Selatan dengan memberi penumpuan kepada melihat potensi mengurangkan kos dan memendekkan masa pemprosesan (lebih cepat).

BNM menyatakan tiada keperluan untuk mempercepatkan rancangan CBDC memandangkan sistem pembayaran domestik semasa menyokong keperluan ekonomi dan ‘real time digital payments’. Saya berpandangan pengurangan penggunaan wang tunai fizikal yang pantas boleh mengukuhkan keperluan pelaksanaan CBDC ini bagi memastikan orang ramai terus mempunyai akses kepada kaedah pembayaran yang dijamin oleh bank pusat. Di Indonesia contohnya, jumlah pengguna aset digital sudah mencapai angka 16.42 juta (sehingga Oktober 2022) jauh lebih besar berbanding jumlah pelabur pasaran modal yang hanya mencapai 9.98 juta sahaja.

Walau bagaimanapun, aset digital yang diterbitkan secara persendirian tidak diiktiraf sebagai wang yang sah diperlakukan dan tidak dikawal selia sebagai instrumen pembayaran di Malaysia, hal ini tidak menghalang sebahagian orang ramai untuk berurusan menggunakan aset digital ini.

Di Malaysia, kertas dasar Blockchain untuk sektor industri lain boleh dirujuk di laman web MOSTI, National Blockchain Roadmap 2021-2025 tidak menyentuh aset digital di sektor kewangan secara khusus.

Ts. Azril Hanafi bin Abdullah Sharwani

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Gelombang BERJASA atau parti BERJASA Malaysia.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kenyataan Fuziah salleh memakan diri

Next Post
Ketua Penerangan BERJASA, Mohd Hamdan

Pencen Ahli Parlimen Wajar Dikaji Semula

Related Posts