Portal berita Malay Mail melaporkan bahawa warga asing di Malaysia telah berhutang dengan hospital di negara ini dengan tidak membayar bil tunggakan sebanyak RM36.4 juta di kala rakyat tempatan merasa terbeban dengan kos perubatan yang tinggi.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil maklum mengenai isu ini dengan cuba menyemak semula kadar deposit serta prosedur jaminan bank supaya amaun yang dikutip mencukupi untuk menampung kos rawatan.
KKM memang sewajarnya memandang serius ini dengan mencari solusi terbaik bagi memastikan sektor kesihatan negara tidak kehilangan hasil yang besar begitu sahaja.
Walaupun jumlah tunggakan telah berkurangan sebanyak 9.58 peratus, bersamaan RM3.84 juta daripada RM40.08 juta namun ia tetap menimbulkan persoalan tentang kecekapan sistem kutipan.
Malahan ramai pihak juga mempersoalkan sama ada prosedur sedia ada memadai untuk memastikan hutang tidak terus meningkat pada masa akan datang.
Jika situasi yang sama terus berulang, warga asing yang tidak bertanggungjawab ini seakan menikmati perkhidmatan kesihatan yang ‘percuma’ di Malaysia yang akhirnya merugikan negara dan rakyat.
Rakyat Malaysia Terbeban Dengan Kos Perubatan Yang Naik
Isu berkenaan kos perubatan naik di Malaysia ini bukanlah sesuatu yang baru malahan rakyat Malaysia sendiri sudah terkesan dengan kenaikan kos perubatan ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad turut mengakui trend peningkatan kos perubatan ini amat membimbangkan yang mana ia bukan sahaja kritikal untuk sektor kesihatan swasta malahan sektor kesihatan awam juga.
Peningkatan kos perubatan ini bukan sahaja melibatkan perkhidmatan kesihatan dan ubat-ubatan malahan ia turut merangkumi kos untuk pemeriksaan berkala dan rawatan lain-lain juga.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil maklum balas mengenai isu ini dengan mengatakan kerajaan sedang memperhalusi langkah untuk memperkenalkan mekanisme kawalan kos perubatan seperti Diagnosis-related group (DRG) bagi memastikan kesihatan di Malaysia lebih munasabah dan adil.
Namun demikian, kerajaan juga sepatutnya sedar bahawa rakyat dijangka akan berhadapan dengan kenaikan caj premium insurans pada tahun hadapan.
Hal ini menunjukkan rakyat akan berhadapan dengan beban berganda apabila terpaksa menanggung kenaikan kos perubatan yang tinggi dan dalam masa yang sama terpaksa membayar lebih untuk premium insurans.
Kerajaan diminta untuk mencari solusi yang terbaik untuk menyelesaikan isu ini kerana rakyat kini sudah begitu ramai terganggu kesejahteraan ekonominya.