Pelaksanaan Pelan Rasionalisasi Subsidi Tidak Jelas

subsidi

KUALA LUMPUR – Sudah menghampiri bulan Jun namun khabar mengenai rasionalisasi subsidi masih lagi belum ada tarikh tepat menunjukkan ia akan dilaksanakan dalam masa terdekat. Terbaharu, kerajaan hanya memaklumkan rasionalisasi subsidi akan dibuat pada masa tepat tanpa memberitahu bilakah tarikhnya.

Faktor utama yang mendorong kerajaan melaksanakan langkah ini adalah masalah defisit fiskal dan hutang negara yang semakin meningkat. Peningkatan ini disumbangkan oleh pelbagai faktor termasuk pandemik COVID-19, ketegangan geopolitik dan perubahan iklim yang mengesani harga komoditi dunia.

Rasionalisasi subsidi akan mengurangkan defisit fiskal dan hutang negara kerana ia merupakan perbelanjaan kerajaan yang besar meliputi subsidi bahan api (petrol, diesel, LPG), subsidi atau insentif kepada pengeluar serta subsidi kepenggunaan seperti pampasan tol, gula, minyak masak, ayam, telur dan lain-lain dalam pelbagai bentuk seperti subsidi tunai, kredit, cukai, ekuiti, barangan, perolehan dan kawal selia.

Pada tahun 2022, jumlah subsidi mencecah paras tertinggi iaitu sebanyak RM70.3 bilion yang menyamai perbelanjaan pembangunan sebanyak RM71.6 bilion. Sebagai perbandingan, purata tahunan  bagi tempoh 10 tahun terdahulu adalah sebanyak RM15.2 bilion.

Namun demikian, timbul beberapa kebimbangan mengenai pelaksanaan ini iaitu antaranya kos sara hidup rakyat kerana mekanisme rasionalisasinya dan perlindungan sosial yang tidak jelas dan konsisten. Dalam peningkatan inflasi yang mengurangkan kuasa beli rakyat, kekurangan maklumat mengenai mekanisme pelaksanaannya dan perlindungan sosial mengesani sentimen pengguna dan menyebabkan perbelanjaan pengguna lemah.

Kekurangan maklumat mengenai mekanisme ini juga boleh melemahkan sentimen pelabur kerana menyumbang kepada ketidak tentuan kos operasi perniagaan.

Selain itu juga, penghapusan subsidi secara terburu-buru terbukti memberi kesan lebih buruk kepada ekonomi. Mengambil contoh di Nigeria, selepas sembilan bulan subsidi minyak dihapuskan, harga minyak meningkat tiga kali ganda, disusuli peningkatan kos makanan dan pengangkutan. Pada masa sama, nilai matawang Nigeria, naira jatuh 70 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat. Kesannya, kadar inflasi Nigeria mencapai hampir 30 peratus, tertinggi sejak 1996.

Jelas di sini bahawa tindakan kerajaan untuk melaksanakan langkah ini akan memakan diri jika tidak dilaksanakan secara berhati-hati. Pelaksanaannya yang tergesa-gesa dan tanpa mekanisme yang jelas di bawah pengaruh Bank Dunia dan IMF terbukti memberi kesan lebih buruk kepada ekonomi.

Oleh itu, kerajaan perlu menyediakan perlindungan sosial yang kukuh dan menyeluruh bagi memastikan rakyat terutamanya golongan yang memerlukan dan berpendapatan rendah serta golongan miskin bandar dapat menghadapi tekanan inflasi dengan baik. Kerajaan juga perlu memastikan rasionalisasi subsidi ini tidak menyumbang kepada peningkatan jurang sosioekonomi antara kaum, wilayah dan bandar-luar bandar.

SUMBER – Fokus

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post
pengundi Melayu

Pengundi Melayu Lebih Pragmatik Berbanding Pengundi Cina – Tun Faisal

Next Post
KTMB

KTMB Sudah Putus Ideakah Untuk Jana Pendapatan?

Related Posts