KUALA LUMPUR – Tular baru-baru ini mengenai tersebarnya satu video yang menunjukkan gerabak kereta api syarikat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengadakan acara hiburan seakan kelab malam. Video tersebut mendapat tontonan yang tinggi di Facebook dan mendapat perhatian ramai pihak termasuk ahli-ahli politik.
Menurut sumber dalaman yang diperoleh, penganjuran acara hiburan yang diiringi dengan muzik elektro itu dibuat bagi membolehkan mereka menjana pendapatan tambahan untuk menyokong kos operasi KTMB.
Hasil pemerhatian di media sosial seperti Facebook, ramai pihak yang meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan KTMB tersebut kerana acara tersebut dilihat mencemari norma budaya masyarakat Malaysia yang terkenal dengan jati diri Islam dan budaya timur yang kuat.
Di dalam kumpulan Facebook yang dikenali sebagai Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB (RUM), mereka berpendirian pegawai yang meluluskan pesta tersebut perlu bertanggungjawab terhadap penganjuran pesta yang mengundang kontroversi itu.
“Rasanya semua setuju jabatan dan pegawai-pegawai yang berurusan harus bertanggungjawab. Takkan nak minta maaf dan lepas tangan?
“Maruah dan imej KTMB terjejas. Memalukan!! Pekerja turut merasa tempiasnya.. #selamatkanKTMBselamatlahPEKERJA,” tulis kesatuan tersebut.
Terdahulu, PAS mengecam dan menyifatkan pesta hiburan yang dianjurkan sebuah entiti itu baru-baru ini sebagai melampaui batas.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata pesta berkenaan bertentangan dengan budaya ketimuran yang mengutamakan nilai tatasusila, kesopanan dan hiburan sederhana.
Timbul persoalan terhadap KTMB sama ada mereka kekurangan idea untuk menjana pendapatan tambahan ataupun secara sengaja menganjurkan pesta sedemikian. Sebagai sebuah syarikat yang lama di dalam industri keretapi, mereka sepatutnya lebih bijak dalam mempromosikan idea yang menarik untuk menaikkan imej KTMB di mata orang awam.
BERJASA melihat isu ini sebagai satu pencabulan kepada identiti nasional kerana melanggar adat ketimuran yang penuh sopan santun di Malaysia. Masyarakat Malaysia terkenal dengan adab sopan santunnya maka tidak wajar acara sebegini dianjurkan kerana seolah-olah ingin mencemari imej negara.