Pelajar Praktikal Tiada Elaun: Mengapa Lama Untuk Diambil Tindakan Penyelesaian?

Pemuda BERJASA, Isma Aiman

Shah Alam – Kerajaan mengambil tindakan yang begitu lama untuk menyelesaikan isu pelajar yang menjalani latihan industri (LI) tidak mendapat elaun daripada pihak majikan sedangkan isu ini sudah berlarutan lama daripada dahulu lagi.

Kenaikan harga barangan dek ketidaktentuan ekonomi kini semestinya menekan pelajar untuk menjalani latihan industri di kawasan bandar besar dan bertahan di sana.

Gelombang BERJASA pantas menghubungi Pemuda BERJASA, Isma Aiman untuk mendapatkan pendapat dan penjelasan mengenai isu ini.

Tegas beliau, agak hairan isu ini gagal diselesaikan oleh mana-mana kerajaan tidak kira kerajaan yang lama ataupun baharu kerana isu ini sudah lama menghimpit mahasiswa daripada dahulu lagi.

Mana-mana parti yang telah menjabat sebagai pentadbir negara mesti jelas dengan isu ini apatah lagi mereka mempunyai sayap pemuda masing-masing yang sepatutnya lebih memahami isu ini dengan lebih terperinci.

“Kerajaan sekarang setelah dibangkitkan isu mahasiswa yang menjalani latihan industri tidak mendapat elaun, baru ingin membuka laporan setelah dimaklumkan oleh Kementerian Sumber Manusia”.

“Persoalannya mengapa isu ini mengambil masa yang lama untuk diselesaikan sedangkan masalah ini sudah lama berlaku walaupun bersilih ganti kerajaan yang mentadbir? Adakah wujudnya kartel daripada pihak industri yang menghalang kerajaan untuk menyelesaikan isu ini dariapada awal lagi?”, soal beliau.

Beliau menambah, kerajaan tidak sepatutnya tunduk kepada desakan daripada mana-mana pihak industri yang menghalang kerajaan daripada menyelesaikan isu ini kerana matlamat mereka sebenarnya lebih tertumpu kepada penggunaan tenaga buruh murah.

Hal ini demikian kerana pihak industri dapat menjimatkan kos upah apabila menggunakan kudrat pelajar-pelajar yang menjalani latihan industri tanpa bayaran walaupun dalam tempoh yang singkat.

“Berdasarkan pengalaman dan pengamatan saya mengenai golongan industri dan majikan ini, mereka sebolehnya menginginkan mahasiswa untuk menjalani latihan industri di syarikat mereka sehingga sanggup lakukan kerjasama ataupun JV dengan pihak IPTA/IPTS”.

“Mereka lihat ini satu peluang untuk syarikat mereka menjimatkan kos operasi dan kos upah dengan mengerah pelajar-pelajar sehingga di luar waktu kerja untuk melakukan tugasan tanpa bayaran”.

Jelas beliau lagi, pelajar-pelajar yang menjalani latihan industri di kawasan bandar besar adalah kumpulan yang paling terkesan dalam isu ini dek sewa bilik atau rumah yang mahal dan harga barangan pengguna yang mahal.

Pelajar-pelajar ini tidak akan mampu untuk menunjukkan prestasi yang baik di dalam kerja mereka kerana ada yang sanggup menahan kelaparan dan tertekan tinggal di bandar dengan kos sara hidup yang tinggi.

Susulan itu, beliau menyarankan agar kerajaan terus mengambil tindakan yang pantas untuk menyelesaikan isu ini daripada menjadi lebih barah lagi.

Kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) boleh melakukan penyelarasan untuk semua IPTA/IPTS memberikan sedikit wang elaun kepada pelajar-pelajar ini untuk menjalani latihan industri.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) pula sepatutnya menggubal Akta Kerja 1955 dengan memasukkan pelajar yang menjalani latihan industri berhak untuk dibayar elaun atas tugasan dan kerja yang mereka lakukan di syarikat pihak majikan.

Akta Kerja 1955 kali terakhir dipinda pada tahun 2022.

Sebelum itu, tular di media sosial mengenai keluhan dan aduan daripada mahasiswa mengenai tekanan yang dihadapi mereka di syarikat mereka jalani latihan industri kerana diberikan bebanan tugas yang banyak tanpa bayaran.

Mereka juga menambah ada yang terpaksa meminjam duit rakan-rakan yang lain untuk membeli makanan dan membaiki motorsikal untuk ke tempat mereka jalani latihan industri.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Malangnya Malaysia: Kerajaan Lemah, Ringgit Pun Lemah

Next Post
Ketua Pemuda BERJASA, Fahmi Bazlan

Jangan Politikkan Isu Air Kelantan

Related Posts