Kuala Lumpur – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mencetuskan kekeliruan apabila mengumumkan bahawa hadiah yang diserahkan kepada Presiden Xi Jinping adalah sebagai penghormatan kepada “Pengerusi Parti Komunis China”, walaupun jawatan tersebut telah dimansuhkan secara rasmi pada tahun 1982.
Lebih mengelirukan, beliau turut menyatakan bahawa hadiah itu diberikan atas nama rakyat Malaysia. Sejak bila Malaysia, sebuah negara demokrasi berparlimen dengan Islam sebagai agama Persekutuan dan Raja sebagai tonggak negara, memberi penghormatan rasmi kepada parti politik luar, apatah lagi yang berideologikan komunisme?
Adakah ini satu pengiktirafan tidak langsung terhadap ideologi komunis, yang secara sejarahnya ditolak oleh Perlembagaan dan pengalaman negara dengan tragedi berdarah zaman Darurat? Apa justifikasi seorang menteri memberikan hadiah mewakili negara kepada seorang pemimpin dalam kapasiti politik partinya, bukan atas kapasiti kenegaraan?
Lebih membimbangkan, adakah ini sebahagian daripada agenda normalisasi hubungan ideologi, bukannya diplomasi negara? Jika ini bukan dasar rasmi kerajaan, maka Anthony Loke telah bertindak melampaui batas, mempergunakan kedudukannya untuk tujuan yang mencurigakan.
Persoalan yang timbul, jika kerajaan Malaysia kini selesa memberi penghormatan kepada pengerusi parti komunis atas nama rakyat Malaysia, maka apakah yang masih tinggal dari prinsip negara kita? Kedaulatan bukan sekadar hubungan dagang — ia juga termasuk pendirian terhadap ideologi yang bertentangan dengan asas Perlembagaan.