Kes Hina Nabi: Kurang Sivik Dan Lemah Penguatkuasaan?

Baru-baru ini, telah tular satu berita berkaitan wanita tempatan yang dikatakan kurang siuman menumbuk seorang individu lalu melakukan kekacauan, bertindak secara agresif, memaki hamun, dan menunjukkan isyarat lucah terhadap anggota polis di kawasan Mergong.

Berita ini mencetuskan perhatian awam kerana video yang ditularkan memaparkan elemen penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW malah suspek juga bertindak provokatif dengan meninggikan suara kepada anggota polis yang datang ingin membantu meredakan keadaan. Walau bagaimanapun, wanita itu telah berjaya ditahan polis semalam.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta tidak bertindak di luar batas sehingga boleh mengganggu ketenteraman awam dan keselamatan pihak berkuasa yang sedang menjalankan tugas”

Statistik penghinaan agama di Malaysia sekitar 2 tahun kebelakangan ini mencatatkan lebih 200 kes dan laporan di seluruh Malaysia. Ini menggambarkan realiti masyarakat kita yang masih tidak mengambil serius isu sensitiviti terhadap kaum dan agama, terutamanya agama yang menjadi anutan dan pegangan masyarakat majoriti di negara ini.

Urgensi untuk memperluas kesedaran sivik

Isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW, sama ada secara lisan, simbolik mahupun melalui media sosial, bukan sekadar persoalan undang-undang atau sensitiviti agama, tetapi mencerminkan kelemahan mendasar dalam kesedaran sivik masyarakat.

Kesedaran sivik menuntut kefahaman bahawa kebebasan bersuara datang bersama tanggungjawab moral untuk menghormati kepercayaan, nilai dan keharmonian hidup bersama dalam masyarakat majmuk.

Kegagalan memahami batas ini menyebabkan provokasi dianggap sebagai hak peribadi, sedangkan implikasinya mampu mencetuskan ketegangan agama dan menggugat ketenteraman awam.

Justeru, pendidikan sivik tidak boleh terbatas kepada pengetahuan perlembagaan semata-mata, tetapi perlu menekankan adab, empati dan hormat terhadap agama sebagai asas wujudnya keharmonian dalam masyarakat.

Tanpa pemantapan kesedaran sivik yang menyeluruh, penguatkuasaan undang-undang semata-mata tidak akan cukup untuk membendung pengulangan kes-kes penghinaan yang semakin berani dan terbuka.

Tingkatkan Penguatkuasaan Undang-Undang Secara Tegas & Konsisten

Penguatkuasaan undang-undang yang tegas dan konsisten juga merupakan keperluan mendesak dalam menangani isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW serta elemen 3R (agama, kaum dan institusi) yang lain.

Realitinya, persepsi wujudnya penguatkuasaan yang bersifat selektif telah melemahkan keyakinan masyarakat terhadap sistem keadilan, sekali gus membuka ruang kepada pihak tertentu untuk bertindak berani, provokatif dan melampaui batas.

Walaupun peruntukan undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia membolehkan tindakan diambil, hukuman yang dikenakan sering dilihat tidak cukup menyeluruh untuk mendidik atau memberi kesan pencegahan jangka panjang.

Dalam banyak keadaan, tindakan hanya diambil selepas isu tular dan tekanan awam memuncak, bukannya melalui pendekatan awal yang konsisten dan berprinsip.

Lebih membimbangkan, kepimpinan yang ada hari ini sangat lemah dalam menyuarakan pendirian jelas terhadap isu penghinaan agama dan ini menyumbang kepada normalisasi tindakan yang dianggap enteng tetapi menjejaskan keamanan kaum.

Pendirian tegas pemimpin dan institusi yang bertanggungjawab adalah perlu untuk menegakkan undang-undang tanpa kompromi.

Penguatkuasaan yang adil, konsisten dan bebas daripada tekanan politik atau sentimen terpilih bukan sahaja penting untuk mengekang perbuatan biadab ini, malah berfungsi sebagai isyarat jelas bahawa sebarang penghinaan terhadap agama, kaum dan institusi negara tidak akan ditolak ansur.

Tanpa ketegasan ini, usaha mendidik masyarakat tentang adab, toleransi dan keharmonian hanya akan tinggal sebagai retorik, sedangkan keberanian untuk mencabar batas-batas dan sensitiviti agama akan terus berulang.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post
kerjasama umno dan pas

Pemuda BERJASA Tawar Diri Jadi Orang Tengah Kerjasama UMNO Dan PAS

Next Post

UPSR: Ujian Asas atau Peperiksaan Penentu Masa Depan?

Related Posts