Ahli-ahli politik yang berada dalam kerajaan kini sudah mula memberikan ayat penyedap hati dengan mengatakan ada kebaikan nilai ringgit rendah kerana ia akan menarik lebih ramai pelancong luar untuk datang dan berbelanja di Malaysia. Sedangkan nilai Ringgit rendah ini akan mendatangkan peningkatan kepada kos perbelanjaan negara yang menyebabkan juga kos import menaik.
Hujah mereka ini langsung tidak logik kerana kedatangan pelancong luar ke Malaysia mungkin hanya di tempat yang tertentu sahaja. Tidak semua tempat akan dilawati oleh pelancong maka limpahan ekonomi ini tidak akan dirasai di semua tempat. Maka agak tidak tepat untuk mengatakan nilai Ringgit membawa kebaikan kepada ekonomi negara.
Apa yang kerajaan perlu lihat dan teliti ialah penurunan nilai Ringgit ini akan memberikan kerugian yang berterusan kepada negara. Menurut Jabatan Statistik Malaysia, trend pengimportan Malaysia makin meningkat selama tiga bulan berturut-turut bermula November 2023 sehingga Januari 2024 dengan nilainya sebanyak RM112.3 billion.
Dengan nilai Ringgit semasa RM4.73 di pasaran antarabangsa, peningkatan trend import Malaysia ini pasti mengerahkan kerajaan untuk mengeluarkan belanja yang besar dalam mengimport barang komoditi daripada luar.
Baru-baru ini Malaysia bakal ataupun sedang berhadapan dengan peningkatan kos barangan makanan seperti bawang akibat dasar negara India yang ingin mengehadkan import bawang mereka ke luar. Sudahlah nilai Ringgit melemah, Malaysia juga sebenarnya banyak bergantung kepada import termasuk komoditi makanan.
Ingatkan kerajaan ingin mengukuhkan sektor pertanian negara untuk kegunaan pasaran tempatan, malahan memberikan solusi untuk mengimport bawang daripada negara lain seperti China dan Pakistan. Solusi ini hanya solusi segera dan menampakkan kerajaan tiada idea yang jauh untuk menyelesaikan masalah ini.
Kerajaan masih lagi tidak menampakkan usaha untuk mengukuhkan nilai Ringgit dan memperkasakan sektor tempatan untuk kegunaan domestik malahan lebih suka bermain politik. Bukan itu sahaja malahan hanya bijak meningkat kadar cukai akibat kebodohan mereka menguruskan ekonomi negara.