Shah Alam – Susulan tular video kenyataan Ketua Pemuda BERJASA, Fahmi Bazlan mengenai beban peniaga terhadap Menu Rahmah di Tik Tok, ia mendapat respon yang positif daripada para peniaga.
Antara respon peniaga yang boleh didapati di ruangan komen ialah mereka berpendapat Menu Rahmah hanya sesuai untuk dilaksanakan oleh peniaga-peniaga kecil sahaja. Hal ini kerana mereka tidak perlu menanggung kos overhed yang tinggi seperti sewa kedai dan gaji pekerja.
Berbeza dengan peniaga-peniaga yang berniaga dalam skala yang besar seperti restoran dan ‘food court’. Mereka akan berasa terbeban dengan persaingan daripada Menu Rahmah yang mampu ditawarkan oleh peniaga-peniaga kecil lain.
Sudahlah tiada subsidi ditambah pula dengan kos bahan mentah yang tiada tanda-tanda akan turun harganya.
Pendapat ini dipersetujui oleh peniaga lain yang mengatakan kerajaan sepatutnya memfokuskan kepada pemantauan harga bekalan dan barang mentah.
Tambahnya, harga bekalan dan barang mentah adalah punca utama kepada kenaikan harga makanan kini. Jika harga bahan mentah itu sendiri sudah mahal, semestinya harga makanan yang telah siap lebih mahal hargnya apabila melalui proses memasak dan pembungkusan.
Tidak kurang juga ada peniaga yang bersetuju dengan kenyataan Fahmi Bazlan yang mengungkapkan ayat ‘untung dahulu baru bersedekah’. Mereka berpendapat inilah konsep sebenar yang perlu dipraktikkan oleh peniaga bukannya peniaga berniaga semata-mata untuk bersedekah.
Terdahulu, Fahmi Bazlan mengeluarkan kenyataan tentang bebanan peniaga untuk menanggung kos bahan mentah yang seakan-akan tidak dipandang serius oleh kerajaan.
Kenyataan beliau dibuat bagi memberi respon balas kepada kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang mengatakan tiada subsidi akan diberikan kepada peniaga yang menjual Menu Rahmah seperti yang dilaporkan oleh Free Malaysia Today.
Video penuh ulasan Fahmi Bazlan berkenaan isu Menu Rahmah boleh ditonton di link berikut https://vt.tiktok.com/ZS8u9adVQ/.