Menteri Hal Ehwal Bukan Islam: Mencabar Perlembagaan & Penghinaan kepada YDPA

menteri bukan islam


Baru sahaja minggu lepas, sayap pemuda DAP, DAPSY, secara biadab membantah usaha
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam mengeluarkan garis panduan bagi umat
Islam di Malaysia dalam menghadiri majlis di rumah ibadat bukan Islam.
Bantahan ini bukan
sekadar menolak garis panduan tersebut, tetapi secara terang-terangan mencabar peranan
institusi Islam di Malaysia.

Kini, tidak sampai seminggu selepas insiden itu, Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat ada mencadangkan supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua yakni khusus untuk Islam dan bukan Islam.

Cadangan ini menimbulkan keresahan ramai pihak kerana rata-rata mempersoalkan apakah justifikasinya sehingga ia menjadi isu yang dipilih untuk dibangkitkan di Parlimen. Rakyat juga berpendapat cadangan ini berpotensi menggugat kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan malah mengada-adakan sesuatu yang tiada kepentingan melainkan ianya berobjektifkan keuntungan politik.

Jika cadangan ini diterima, adakah ini akan menjadi titik permulaan kepada lebih banyak tuntutan yang mencabar Islam di Malaysia?

Kementerian Perpaduan Negara terbukti hilang peranan?

Rakyat tertanya-tanya di manakah peranan Kementerian Perpaduan Negara dalam mentadbir dan mengurus hal ehwal masyarakat bukan Islam jika benarlah isu kesatuan dan kesefahaman antara kaum yang selama ini menjadi kebimbangan? Umum mengetahui, Kementerian Perpaduan Negara sepatutnya bertindak sebagai agensi yang menjaga keharmonian dan memperkukuh interaksi antara kaum secara maksima sehingga tiada salah faham yang boleh berlaku antara masyarakat bukan Islam dan Islam.

Lantas, apabila dicadangkan untuk wujudnya secara khusus portfolio yang menjaga hal ehwal bukan Islam, ini seolah-olah sudah mengambil peranan kementerian sedia ada bahkan akan menyebabkan pertindihan bidang tugas malah membuka ruang yang tidak perlu kepada pengagihan kewangan kerajaan sehingga tidak memberikan impak yang positif pada akhirnya. Maka, terang lagi bersuluh cadangan ini bersifat provokatif dan secara hakikatnya tidak diperlukan.

Kerajaan Gagal Faham Perlembagaan, Islam Diperlekeh?

Prof Shamrahayu juga memberi pandangan bahawa tiada kewajaran pada cadangan ini kerana ianya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Pelantikan menteri hal ehwal bukan Islam tidak pernah dibincangkan dalam sejarah pembentukan perlembagaan melainkan kedudukan Islam sehingga adanya penubuhan institusi Islam menerusi perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan.

Jika memilih untuk mempertimbangkan cadangan itu, kerajaan seolah-olah membuka ruang untuk merendahkan status Islam dalam struktur pentadbiran negara bahkan ia boleh menjadi suatu bentuk penghinaan kepada YDPA yang merupakan Ketua Agama Islam. BINA2040 menegaskan bahawa Islam adalah identiti asas negara yang tidak boleh dipersoalkan atau dikompromi. Ianya bukan sekadar mengenai pengurusan agama, tetapi usaha halus ke arah menghapuskan peranan Islam dalam pentadbiran negara selari dengan agenda sekularisme yang semakin berkembang.

Ini sudah mencerminkan kegagalan kerajaan dalam memahami dan mempertahankan
kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, seperti yang termaktub dalam Perkara 3
Perlembagaan Persekutuan. Jika kerajaan benar-benar memahami Perlembagaan, cadangan ini sepatutnya ditolak mentah-mentah tanpa sebarang perbahasan.

Cubaan Pluralisme Agama Untuk Melemahkan Islam

Hamdan Sharif, Ketua Penerangan Parti Berjasa menegaskan bahawa cadangan untuk mewujudkan portfolio Menteri Hal Ehwal Bukan Islam adalah tidak wajar dan boleh menjejaskan keharmonian antara agama di Malaysia. Kerajaan sepatutnya menolak cadangan ini dan menumpukan usaha kepada pengukuhan institusi sedia ada yang menguruskan hal ehwal agama.

BINA2040 turut mengkritik agenda pluralisme agama yang cuba meletakkan Islam setaraf
dengan agama lain dalam pentadbiran negara. Walaupun Malaysia adalah negara yang
majmuk, Perlembagaan telah menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan dan ini harus
dihormati serta dipertahankan tanpa kompromi.

“Kerajaan sepatutnya lebih peka terhadap sensitiviti agama dan memastikan setiap keputusan yang diambil selaras dengan prinsip-prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Islam telah lama menjadi tonggak kestabilan negara ini, maka sebarang usaha yang boleh menjejaskan ketinggian kedudukannya harus ditolak sekeras-kerasnya”, tambahnya lagi.

Jangan Beri Ruang! Jika Bukan Islam Ada Menteri, Apa Lagi Selepas Ini?

Cadangan untuk mewujudkan portfolio Menteri Hal Ehwal Bukan Islam adalah satu langkah
yang tidak bijak dan berpotensi menimbulkan ketegangan antara agama di Malaysia. Jika
cadangan ini diterima, adakah ini hanya permulaan kepada tuntutan-tuntutan lain yang boleh
menggugat keharmonian negara?

BINA2040 telah memberi amaran tentang bahaya membiarkan agenda sekular dan pluralisme
agama menular dalam pentadbiran negara. Jika cadangan ini diterima, tidak mustahil akan ada
lebih banyak desakan untuk merombak struktur pentadbiran Islam di Malaysia. Satu persatu usaha untuk mencabar kedudukan Islam giat dilakukan sehingga Ahli Parlimen kerajaan sendiri
secara terbuka mencadangkan struktur baru dalam kerajaan yang berpotensi menggugat
kedudukan Islam.

BERJASA menyeru kerajaan untuk menolak cadangan ini dan fokus kepada usaha-usaha yang
dapat memperkukuhkan perpaduan nasional tanpa menjejaskan kedudukan Islam sebagai
agama Persekutuan. Jangan sampai kita menggadaikan prinsip yang telah sekian lama menjadi
asas kestabilan negara hanya kerana tekanan politik semasa!

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post
MAHB

MAHB Bukan Lagi 100% Milik Malaysia?

Next Post

Isu Penderaan Kanak-Kanak di Malaysia semakin Membarah

Related Posts