KAJANG – Pendedahan video tular yang memaparkan luahan seorang Guru Besar di SK Ulu Ansuan, Telupid tentang sebuah stor sekolah yang dijadikan sebagai kediamannya selama tiga tahun lebih apabila berkhidmat di sana. Ini menimbulkan persoalan tentang tanggungjawab Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjaga kebajikan para guru terutamanya yang bertugas di pedalaman.
Naib Presiden II BERJASA, Ir Ts Lukman Al Hakim berkata situasi yang dihadapi oleh Cikgu George Odol ini secara jelas tidak boleh diterima sama sekali dan tidak layak untuk dinikmati oleh seorang guru yang sanggup berkorban di pedalaman. Jelas beliau, kebajikan penjawat awam sepatutnya tidak terabai dan kerajaan sepatutnya peka dengan masalah tersebut.
“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) saban tahun menerima peruntukan yang besar dalam belanjawan negara. Maka isu sebegini sepatutnya tidak timbul apatahlagi melibatkan kebajikan guru”.
“Saya yakin bukan beliau seorang sahaja yang mengalami nasib sebegini. Guru-guru lain juga mengalami nasib yang sama cuma sayangnya suara mereka kurang diberi perhatian oleh pihak yang bertanggungjawab. Saya menggesa agar KPM melakukan pemantauan yang ketat dengan bekerjasama bersama Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh Malaysia”, tegas beliau.
Beliau juga sempat menempelak berkenaan sikap kerajaan yang sanggup menyalurkan jutaan ringgit ke sekolah vernakular namun sanggup membiarkan sekolah kebangsaan dalam keadaan yang penuh daif.
Sebelum ini, tular di Tik Tok berkenaan luahan guru yang dikenali sebagai Cikgu George Odol yang menunjukkan stor sekolah dijadikan sebagai kediaman beliau. Video itu mendapat pelbagai respon daripada rakyat Malaysia yang mengatakan tidak selayaknya seorang guru diberikan layanan sedemikian.