BANGI – Perkembangan terbaharu rombakan kabinet menteri yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri semalam ternyata mendatangkan kekecewaan kerana tidak banyak perubahan yang dilakukan oleh beliau. Jika dahulu ada janji untuk mengecilkan saiz kabinet namun kini sebaliknya berlaku apabila saiz kabinet makin dibesarkan dan bertambah.
Timbalan Ketua Angkatan Pemuda BERJASA (ANGKASA), Hanafi Muidnuddin meluahkan kekecewaan beliau kerana tidak melakukan rombakan terhadap portfolio Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang ramai pihak menyifatkan menteri dan timbalannya sangat tidak kompeten, pasif dan tiada agenda dalam mengemudi kementerian tersebut. Setelah lebih 365 hari Menteri dan Timbalannya memimpin KBS, prestasti sukan negara kian merudum.
“Contohnya prestasi pingat yang dikutip Malaysia dalam kejohanan sukan besar seperti Sukan SEA 2023 yang berlangsung di Kemboja amat menyedihkan jika dibandingkan dengan rekod dahulu. Lebih malang lagi, kita menyaksikan tiada transformasi dalam kementerian dilakukan. Hanya sekadar merasmikan semula Kelab Rakan Muda. Selain daripada itu apa agenda KBS untuk anak muda?”
“Saya mencadangkan agar Menteri dan Timbalanya yang cukup lantang bersuara ketika berada di blok pembangkang dahulu ini segera melaksanakan janji-janji mereka untuk membantu belia dan menaikkan imej sukan negara”, tegas beliau.
Tambah beliau lagi bagi mengakhiri temu bualnya dengan Gelombang BERJASA, beliau menyarankan agar kedua-duanya iaitu menteri dan timbalannya ini berundur sahaja daripada kerusi empuk mereka di KBS itu kerana prestasi mereka ini hanya akan memalukan negara sahaja.