MELAKA – Keceluparan ahli pimpinan DAP yang mengkritik perlaksanaan Minggu Solidariti Palestin anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di semua sekolah mendapat reaksi yang pantas daripada Naib Presiden II BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim. Beliau berkata, DAP selaku parti komponen di dalam kerajaan yang memerintah sepatutnya menggunakan platform di kabinet bukannya melalui media. Ini menampakkan DAP masih lagi kerajaan yang berminda pembangkang seperti sebelum ini.
Tegas beliau, DAP sememangnya sebuah parti yang memusuhi segala perkara berkaitan Islam. Mereka seakan khuatir dan risau jika umat Islam di Malaysia mempunyai kesedaran yang tinggi untuk mempertahankan kedaulatan tanah air dengan mengambil pengajaran daripada isu di Palestin.
“Isu senjata mainan hanyalah alasan. Bukankah sambutan hari kemerdekaan negara memaparkan peralatan ketenteraan dan senjata sebenar ATM hingga disaksikan oleh semua pelajar sekolah? Bukankah sambutan hari kemerdekaan di sekolah selama ini juga sebahagiannya menggunakan senjata mainan sebagai gimik?”
“Kalau nak diikutkan, antara banyak-banyak parti politik di Malaysia logo DAP yang paling ‘ganas’. Parti lain berlogokan bintang, bulan dan dacing tetapi DAP berlogokan roket”, jelas beliau.
Belau berkata lagi bahawa DAP sebenarnya bukan takut dengan senjata mainan tetapi mereka lebih khuatir akan kefahaman, semangat dan ukhuwwah Islamiah yang ingin diterapkan KPM kepada anak-anak muda Islam di sekolah.
“Jika mereka ingin mempertahankan ‘aqidah’ anak-anak Cina, bincanglah dengan KPM supaya sekolah vernakular dikecualikan. Anak-anak Cina di sekolah kebangsaan yang tak seramai mana pun boleh dikecualikan tetapi cukup jangan campur tangan urusan bangsa dan agama kami”, kata beliau.
Sebelum ini, beberapa ahli pimpinan parti GERAKAN, MCA dan DAP berkongsi pendapat yang sama berkenaan Minggu Solidariti Palestin di sekolah. Mereka menuduh upacara ini akan menyemai semangat ekstremisme dalam kalangan pendidik dan murid sekolah.