Rembau – Tindakan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif setinggi 24% terhadap produk dari Malaysia sepatutnya menjadi isyarat jelas bahawa negara perlu bertindak tegas dan berprinsip dalam mempertahankan kepentingan ekonomi nasional.
Namun, kenyataan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa Malaysia tidak akan mengenakan sebarang tindakan balas terhadap AS menimbulkan kekecewaan besar. Malah, Perdana Menteri sendiri menyatakan bahawa tarif tersebut “masih rendah” dan “tidak menjejaskan ekonomi”, satu kenyataan yang dilihat longgar dan defensif.
Presiden Parti BERJASA Ustaz Zamani bin Ibrahim menyelar sikap pasif kerajaan ini, menyifatkannya sebagai tunduk tanpa rundingan dan memperlihatkan kelemahan diplomatik dalam mempertahankan kedaulatan ekonomi negara. “Apa sebenarnya pendirian kita terhadap tarif AS ini? Adakah kita hanya terima sahaja tanpa ada usaha menuntut keadilan dagangan?” soal beliau.
Realitinya, hampir 20% import semikonduktor AS datang dari Malaysia, dengan nilai mencecah $16.2 bilion pada 2024. Ini menunjukkan bahawa Malaysia masih mempunyai kelebihan tawar-menawar – tetapi malangnya, kelebihan ini langsung tidak dimanfaatkan.
Presiden Parti BERJASA Ustaz Zamani bin Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan perlu tegas dan berani, bukan hanya sekadar “berhubungan baik” sambil membiarkan syarikat tempatan dan pekerja Malaysia menanggung beban dasar perdagangan berat sebelah. Malaysia tidak boleh terus dilihat sebagai negara yang hanya menerima tanpa membalas, apatah lagi dalam dunia perdagangan global yang penuh dengan rundingan keras dan kepentingan tersirat.
Maruah ekonomi negara tidak boleh digadaikan hanya demi retorik hubungan baik.