BANGI – Sikap sebahagian pengundi Melayu yang tidak turun mengundi sewaktu Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Bharu (PRK KKB) yang baharu sahaja berlangsung pada minggu lepas dikatakan sebagai punca kepada kekalahan calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut. Masih menjadi persoalan mengenai sikap tidak turun mengundi di KKB ini namun terdapat khabar angin yang mengatakan ini berpunca daripada tindakan pemboikotan penyokong UMNO yang tidak gemar dengan pakatan antara UMNO dengan DAP.
Presiden BERJASA, Zamani Ibrahim melahirkan kebimbangan mengenai situasi ini kerana khuatir penyakit tidak turun mengundi ini akan terbawa-bawa sehingga ke PRU-16. Jika ini terus berkekalan, maka matlamat sebenar majoriti orang Melayu untuk melihat parti-parti Melayu mentadbir kerajaan bakal terkubur.
Statistik bilangan pemilih atau pengundi di KKB menunjukkan kaum Melayu adalah seramai 47 peratus manakala kaum Cina pula seramai 31 peratus. PRK KKB kali ini menunjukkan pengundi Cina ‘solid’ dengan turun beramai-ramai mengundi calon DAP iaitu Pang Sock Tao.
“Saya berpendapat situasi ini amat membimbangkan kerana dikhuatiri akan terbawa-bawa ke PRU16 nanti. Pengundi Melayu sepatutnya menyuarakan hak dengan mengundi calon yang mereka gemar bukannya dengan tindakan memboikot sehingga tidak mahu turun undi”.
“Saya lihat PN perlu mula membawa pendekatan yang agresif bagi mempengaruhi masyarakat Melayu. PN boleh menubuhkan satu sekretariat bagi mengumpulkan mana-mana ketua parti politik Melayu dan pimpinan NGO Melayu untuk menguatkan lagi arus politik orang Melayu”.
“Kita tidak mahu sekretariat ini diisi dan dipimpin oleh ahli politik sahaja maka ahli cerdik pandai daripada NGO mahupun mana-mana bidang boleh menyuarakan buah fikiran di dalam sekretariat ini”, tegas beliau.
Tambah beliau lagi, sekretariat ini juga tidak semestinya dipimpin oleh ahli politik dan ia patut terbuka kepada individu yang layak asalkan fokusnya untuk menguatkan lagi politik orang Melayu dan Islam.
“Pimpinan-pimpinan di dalam sekretariat ini boleh melakukan pertemuan secara berkala bagi membincangkan mengenai isu yang menyentuh politik orang Melayu dan Islam. Bukan itu sahaja malahan program ‘roadshow’ boleh dilakukan secara jelajah di seluruh Malaysia ataupun Semenanjung Malaysia sahaja bagi menghebahkan kesedaran kepada orang ramai tentang masa depan politik Melayu dan Islam”, ujar beliau.
Beliau melihat tindakan-tindakan ini jika diambil secara serius mampu mengembalikan semula potensi untuk melihat ahli dan parti politik Melayu dan Islam kembali memimpin Malaysia secara majoriti.