PELABUHAN KLANG – Sejak permik import (AP) dimansuhkan oleh kerajaan yang terdahulu pada Mei 2022, kerajaan sekarang di bawah pimpinan PH-BN masih lagi belum mengambil tindakan yang proaktif untuk menyelesaikan isu penguasaan lebih 60 peratus sayur import oleh warga asing. Keadaan ini menyebabkan warga asing memiliki kelebihan untuk mengawal harga sayur-sayuran di pasaran.
Pengerusi Persatuan Pengimport Sayur-Sayuran Malaysia, Datuk Seri Teh Meng Huat berkata, tindakan kerajaan yang terus memansuhkan AP khususnya bagi produk kobis bulat dan kelapa tanpa perbincangan dengan pemain industri tempatan menyebabkan kemasukan syarikat milik 100 peratus warga asing dalam pengimportan sayur-sayuran.
Tegas beliau, situasi terkini amat membimbangkan dan beliau tidak menolak kemungkinan pengimportan yang dilakukan syarikat warga asing itu kini telah mencecah RM1 billion sejak AP dimansuhkan.
Beliau berpendapat kerajaan berkuasa menghalang warga asing daripada terus menjalankan aktiviti ini jika AP diperkenalkan semula.
Selain itu, Meng juga mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan konsep ladang kontrak untuk melindungi golongan petani yang kini berdepan kerugian besar akibat harga sayur-sayuran di bawah harga kos.
Kerajaan seharusnya melihat isu ini secara serius memandangkan Malaysia sekarang berhadapan dengan krisis keselamatan bekalan makanan yang begitu kritikal. Selain berhadapan dengan kekurangan bekalan makanan, Malaysia turut berhadapan dengan penguasaan harga secara melampau yang ditentukan oleh warga asing.
Malaysia sepatutnya mempunyai potensi yang lebih besar untuk membangunkan industri tanaman sayur-sayuran secara mandiri dengan memanfaatkan potensi rakyat tempatan.
SUMBER – Malaysia Gazette