Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr Hazami Jahari menegaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang pelik kerana rakyat tempatannya segan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Memetik laporan daripada Berita Harian, hal ini jelas menunjukkan rakyat Malaysia mempunyai krisis identiti yang kritikal dan penjajahan minda yang kuat kerana kurang yakin akan nilai bahasa Melayu itu.
Sebahagian daripada mereka menganggap bahasa Melayu tiada nilai yang komersial terutamanya untuk nilai ekonomi.
Mereka kononnya ingin menjadi masyarakat maju dengan menjadikan rakyat di negara Eropah sebagai contoh dalam aspek penguasaan ilmu, ekonomi dan teknologi maka bahasa Melayu dipinggirkan.
Namun begitu, mereka tidak sedar bahawa rakyat atau bangsa di negara-negara maju di Eropah seperti Perancis, Jerman, Switzerland dan Belanda lebih gemar menggunakan bahasa kebangsaan mereka malahan berbangga untuk berbicara dalam bahasa kebangsaan masing-masing.
Hal ini jelas menunjukkan bahawa rakyat Malaysia sebenarnya berada dalam krisis identiti kerana tidak tahu secara jelas apa yang mereka inginkan untuk bergerak maju ke hadapan.
Kedudukan Bahasa Kebangsaan Sepatutnya Diangkat Lebih Tinggi
Bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu sepatutnya diangkat lebih tinggi kedudukannya bukan sahaja di dalam perlembagaan persekutuan malahan secara praktikalnya perlu dilakukan sedemikian.
Malaysia sememangnya dikenali sebagai negara yang mempunyai kemajmukan kaum namun ia tidak boleh menolak bahawa identiti negara ini dikuatkan dengan budaya Melayu itu sendiri.
Kecelaruan identiti akan menyebabkan Malaysia tidak mempunyai keunikan seperti negara lain yang berbangga dengan budaya mereka.
Negara jiran iaitu Indonesia mula berbangga mempromosikan bahasa Indonesia sedangkan bahasa Indonesia itu adalah bahasa Melayu.
Usaha memartabatkan bahasa Melayu bukan sahaja perlu digerakkan oleh rakyat malahan kerajaan perlu mengambil inisiatif yang sama untuk melakukannya.
Namun sayangnya menteri di dalam kerajaan sendiri pun memperlekehkan nilai bahasa Melayu di hadapan orang ramai.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing menolak usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mewajibkan papan tanda premis untuk menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sahaja.
Beliau mengatakan tindakan DBKL itu sebagai perkauman kerana merendahkan bahasa Mandarin dan Tamil sedangkan penguatkuasaan sedemikian sudah lama dijalankan sebelum beliau menjadi menteri lagi.
Sungguh malang nasib Malaysia apabila mempunyai menteri kerajaan yang bermentaliti penjajah dan kolot.