Kadar inflasi di Malaysia dijangka meningkat pada 2025 susulan pembaharuan dasar domestik seperti rasionalisasi subsidi RON95 dan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang akan diperluaskan nanti.
Perkara ini telah dimaklumkan oleh Hong Leong Investment Bank (HLIB) yang turut menyatakan inflasi ini turut akan dipengaruhi oleh potensi tekanan harga global terutamanya akibat dasar di bawah Presiden Donald Trump.
Oleh hal yang demikian, HLIB menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada paras 3% untuk 2025 nanti.
Kini inflasi keseluruhan berada pada kadar 1.8% tahun ke tahun (YoY) pada November 2024 di bawah anggaran konsensus 2.1%.
Kadar Inflasi Malaysia Pada 2024 Merangkumi Kos Makanan & Minuman
Seperti yang dimaklumkan sebentar tadi, kadar inflasi untuk tahun 2024 adalah pada kadar 1.8% yang disebabkan kos yang lebih tinggi dalam makanan dan minuman yang berada kadar 2.6%.
Selain daripada kos makanan dan minuman, hal ini turut melibatkan kos perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain pada 3.2%.
Namun begitu, inflasi makanan amat ketara dalam kalangan inflasi yang lain yang mana ia didorong oleh kenaikan 4.8% bagi harga ayam dengan harga purata ayam standard mencecah RM10.41 sekilogram meningkat daripada RM9.96 pada November 2023.
Hal ini pasti merisaukan rakyat Malaysia ditambah pula dengan isu kenaikan kos sara hidup masih membelenggu rakyat Malaysia kini.
Laporan juga menyatakan kenaikan kos sara hidup ini puncanya daripada monopoli dan kartel yang berleluasa di Malaysia.
Namun hingga kini kerajaan dilihat agak lambat untuk menyelesaikan isu ini apatah lagi laporan kajian kartel dan beras akan diumum pada awal tahun depan.
Pastinya rakyat amat ternanti-nantikan pendedahan laporan ini dengan harapan kartel beras ini terus dihapuskan oleh kerajaan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan laporan ini memberi bayangan kartel itu berkemungkinan termasuk penyalahgunaan kedudukan dominan mana-mana syarikat yang mengawal bekalan benih dan import.
Namun begitu, kerajaan juga diharapkan dapat menyelesaikan kartel-kartel lain yang sudah sekian lama melakukan monopoli di Malaysia