KUALA LUMPUR – Malaysia berkemungkinan besar bakal berhadapan dengan krisis kekurangan doktor dan saintis disebabkan semakin ramai pelajar di peringkat sekolah menengah tidak lagi cenderung mengikuti pelajaran dalam bidang Sains Tulen. Hal ini merujuk kepada peratusan calon yang mengambil subjek Sains Tulen ataupun bidang STEM dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikesan terus merosot di bawah 15.2 peratus.
Pakar pendidikan berpendapat, jika trend ini berterusan, sasaran menjayakan dasar 40 peratus pelajar mengambil bidang Sains Tulen yang merangkumi sebahagian teras Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) akan terjejas.
Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose, berkata berdasarkan keputusan SPM 2022, hanya 15.2 peratus calon mengambil Sains Tulen dengan 70 peratus daripadanya gagal, selain memperoleh D dan E dalam Matematik Tambahan.
Tambah beliau, jika keadaan ini tidak berubah berkemungkinan besar negara kita memerlukan kebergantungan yang tinggi kepada tenaga profesional asing bagi menampung industri kemahiran tinggi negara kita.
Bagi sesi 2023/2024, hanya 15.2 peratus atau 62,250 daripada kira-kira 415,000 pelajar Tingkatan Tiga di seluruh negara memilih aliran Sains untuk ke Tingkatan Empat.
Raduan berkata, jumlah itu paling rendah dalam sejarah dan jauh ketinggalan berbanding dasar 60 peratus yang ditetapkan pada 1967 lalu.
Bagi pakar pendidikan, Dr Anuar Ahmad, kaedah Pentaksiran Berasaskan Bilik Darjah juga sukar ‘mengesan’ pelajar yang meminati Sains Tulen.
Mengakui jumlah 15.2 peratus pelajar itu ‘agak menakutkan’, beliau berkata, ia sekaligus bermaksud dalam 100 orang pelajar hanya 15 orang sahaja yang akan mengambil aliran Sains Tulen.
Laporan ini memberikan gambaran yang tidak menjamin kepada masa hadapan negara kita. Hal ini menunjukkan bahawa semakin sukar untuk Malaysia mengejar status sebagai sebuah negara yang berpendapatan tinggi disebabkan semakin kurangnya anak tempatan yang mampu menghasilkan teknologi terbaru.
Peralihan status ekonomi Malaysia daripada negara berpendapatan sederhana kepada berpendapatan tinggi amat penting untuk mengubah taraf hidup rakyat secara keseluruhannya. Hal ini penting terutamanya dalam mengurangkan tahap kemiskinan tegar kepada kadar satu peratus daripada keseluruhan operasi.
Namun begitu, dengan apa yang berlaku kini mungkin boleh dipersoalkan kembali laporan Bank Dunia yang mengatakan bahawa Malaysia dijangka tetap akan mengalami peralihan daripada ekonomi berpendapatan sederhana tinggi kepada berpendapatan tinggi, dalam tempoh lima tahun.
SUMBER – Berita Harian