Kerajaan Perlu Telus Dalam Berikan Peruntukan Politik

peruntukan pembangkang

BANGI – Kerajaan digesa bersikap telus dalam memberikan peruntukan kepada pembangkang tanpa perlu menganaktirikan mereka. Selaras dengan prinsip kerajaan sekarang yang ingin membawa naratif politik matang, isu melibatkan peruntukan pembangkang ini sepatutnya dapat diselesaikan dengan baik.

Demikian respon daripada Isma Aiman selaku Pemuda BERJASA dalam mengulas isu mengenai janji kerajaan untuk memberikan peruntukan kepada pembangkang. Isu ini sudahpun dibangkitkan daripada awal lagi hingga menimbulkan polemik yang berpanjangan antara pembangkang dan kerajaan.

Ramai pihak membuat spekulasi bahawa peralihan sokongan beberapa ahli Parlimen pembangkang kepada kerajaan sebelum ini bertitik-tolak daripada isu peruntukan pembangkang ini. Mereka bersikap jujur dengan mengatakan tindakan memberikan sokongan kepada kerajaan dibuat demi mendapatkan peruntukan yang mencukupi untuk kawasan Parlimen mereka.

Isma Aiman berkata, kerajaan sepatutnya tidak boleh berdolak-dalih dalam isu ini kerana tanggungjawab kerajaan adalah untuk menjaga kesejahteraan semua rakyat Malaysia termasuk di kawasan Parlimen dan negeri milik pembangkang. Bermain politik dalam isu ini menampakkan kerajaan tidak prihatin dan ikhlas untuk membangunkan kesejahteraan hidup rakyat Malaysia.

“Saya juga ingin memperingatkan bahawa bantuan dan juga peruntukan yang ingin dibuat perlu disampaikan secara tulus. Jika terus dengan drama politik yang berpanjangan ini, saya khuatir rakyat yang akan terjejas sebenarnya”.

“Kerajaan juga sebelum ini ada menegaskan untuk memberikan dana politik melalui bentuk yang lain iaitu menyalurkan dalam bentuk projek kepada rakyat secara terus. Maknanya pihak pembangkang di kawasan tersebut tidak akan memperoleh bantuan dalam bentuk peruntukan wang tunai namun dalam bentuk projek kerajaan”.

“Jika benar dibuat dengan cara begitu sekalipun, pembangkang harus menerimanya demi kesejahteraan rakyat Malaysia”, tegas beliau.

Terdahulu, Ketua Whip Parlimen DAP, Nga Kor Ming menegaskan peruntukan yang bakal disalurkan kepada wakil rakyat pembangkang adalah tertakluk kepada terma dan syarat.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, keputusan itu yang dibuat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan semalam, bagaimanapun belum lagi membincangkan mengenai syarat-syarat tersebut.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post
pelancong china

Sejuta Pelancong China Bakal Ke Melaka Sahaja

Next Post
STEM

Malaysia Berisiko Besar Ketinggalan Dalam STEM

Related Posts