Berita perletakan jawatan bekas Ahli Parlimen Padang Serai, N. Surendran daripada PRK baru-baru ini menunjukkan betapa kecewanya beliau dengan kerajaan perpaduan sekarang. Beliau sendiri mengatakan kerajaan perpaduan ini tiada langsung usaha untuk melaksanakan agenda reformasi seperti yang dijanjikan. Hasilnya, beliau meminta untuk mengundurkan diri daripada parti dan ini menandakan kerajaan perpaduan sekarang mengalami defisit kepercayaan yang teruk.
Bukan beliau sahaja yang menyatakan kekecewaan tersebut malahan seorang lagi ahli pimpinan PKR yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim meluahkan kekecewaan terhadap prestasi kerajaan yang dilihat lemah dan tidak kompeten. Kelantangan beliau ini mendapat perhatian rakannya daripada parti yang sama iaitu Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil yang mempertimbangkan untuk mengenakan tindakan disiplin kepada beliau.
Tindakan dua orang ahli PKR yang menyuarakan kelantangan secara terbuka ini membuktikan kepada rakyat bahawa wujudnya perpecahan dalaman dalam parti mereka. Tindakan ini mungkin bermula dalam parti PKR sahaja namun tidak mustahil ia akan merebak sehingga dalam kerajaan itu sendiri.
Mereka melontarkan kritikan terhadap Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim yang gagal menguruskan kerajaan dengan baik terutamanya dalam mengangkat agenda reformasi. Kritikan terhadap isu hukuman Najib Razak yang diringankan dan sikap UMNO yang seakan hanya menumpang ‘dahan’ PH akan memburukkan lagi hubungan antara parti komponen di dalam kerajaan.
Tidak mustahil kerajaan sekarang akan jatuh bukannya berpunca daripada pembangkang seperti yang didakwa oleh mereka namun ia datang daripada rakan mereka sendiri.
Imran Hakimi
Pemuda BERJASA
Nota: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Gelombang BERJASA atau parti BERJASA Nasional.