PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia sentiasa mengambil perhatian terhadap laporan aduan pengurusan berkaitan pekerja domestik asing antaranya majikan tidak membayar gaji dan tindakan tegas dikenakan kepada majikan yang melanggar undang-undang terutama Akta Kerja 1955 (Akta 265).
Menterinya V Sivakumar berkata beliau mengarahkan Jabatan Tenaga Kerja supaya mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana majikan yang menganiaya pekerja mereka seiring dengan aspirasi kementerian untuk memastikan Malaysia bebas daripada amalan buruh paksa.
“Memang dari semasa ke semasa ada kes berkaitan pekerja domestik dan tindakan sudah diambil. Jabatan Tenaga Kerja pergi dan lihat serta selamatkan mereka dan tindakan sewajarnya diambil dalam kes sebelum ini.
“Kalau ada kes seperti ini berterusan, maka tindakan terhadap majikan dan kita tidak akan memberi muka kepada mana-mana majikan yang tidak mahu menjaga pekerja mereka,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Deepavali kementerian itu di Putrajaya hari ini.
Sivakumar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono semalam yang dilapor berkata kira-kira 90% aduan diterima Kedutaan Indonesia berkaitan pekerja domestik menunjukkan trend membimbangkan antaranya tidak dibayar gaji bulanan termasuk ada pekerja tidak menerima bayaran selama 19 tahun.
“Saya tidak menafikan tidak ada kes tetapi kementerian sentiasa was-was dan sedia mengambil tindakan terhadap mana-mana majikan yang menyalahgunakan kuasa mereka untuk mendiskriminasi terhadap pekerja terutama dari segi amalan buruh paksa,” menurut Sivakumar.
Beliau turut meminta Kedutaan Besar Indonesia untuk membuat laporan dengan segera berkaitan isu penganiayaan pembantu rumah Indonesia di negara ini supaya Jabatan Tenaga Kerja dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap majikan yang mengabaikan dan cuai dalam isu pengurusan pekerja domestik.
Dalam perkembangan lain, Sivakumar berkata dasar gaji progresif akan menjadi pelengkap kepada dasar gaji minimum supaya pekerja berkemahiran dan mempunyai produktiviti tinggi mendapat pendapatan lebih baik berbanding gaji minimum RM1,500 yang diamalkan hari ini.
Beliau berkata, walaupun dasar gaji minimum penting untuk negara dalam memastikan setiap pekerja tidak kira tempatan atau pekerja asing menerima satu gaji minimum, perlu juga dilihat kepada model lain berdasarkan produktiviti pekerja.
Menurut Sivakumar, dasar gaji progresif dibincangkan secara terperinci dan mendapat kelulusan Majlis Tindakan Ekonomi Negara.
Pada 8 November, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dilaporkan berkata kertas putih cadangan dasar gaji progresif akan dibentangkan di Parlimen pada 30 November ini bagi menerangkan secara lebih terperinci berkaitan dengan ciri-ciri asas dan mekanisme pelaksanaannya.
Rafizi berkata, dasar gaji progresif dibuat bagi membantu negara mencapai sasaran bahagian pampasan pekerja sebanyak 45% daripada keluaran dalam negara kasar dalam tempoh 10 tahun.
Sumber – The Malaysian Insight