Kesedaran Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Di Malaysia Masih Rendah

Kes melibatkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak di Malaysia makin meningkat saban tahun seperti yang dipaparkan di media massa dan portal berita arus perdana.

Hal ini dapat dibuktikan melalui kenyataan daripada Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan yang mendedahkan kes seksual dalam kanak-kanak di Malaysia menunjukkan peningkatan sejak empat tahun lalu.

Kes ini meliputi jenayah rogol, sumbang mahram, cabul, gangguan seksual, seks luar tabii, pornografi, komunikasi secara seksual, amang seksual fizikal dan bukan fizikal.

Bertambah menyedihkan ialah apabila masyarakat awam dilihat agak kurang cakna dengan kes ini dengan mereka mendakwa ia hanya perkara yang kecil sahaja dan tidak perlu dibesarkan kepada khalayak umum.

Mereka tidak sedar bahawa jenayah yang menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa ini akan merosakkan masa depan mangsa itu dan meninggalkan kesan hitam kepada mereka sehingga tua nanti.

Apa Itu Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak?

Jenayah seksual terhadap kanak-kanak adalah satu tindakan di mana kanak-kanak dieskploitasi atau dipergunakan secara seksual oleh individu dewasa atau rakan sebaya.

Tindakan ini termasuk pelbagai bentuk penderaan fizikal, emosi, dan psikologi, serta sering kali melibatkan aktiviti seksual tanpa kebenaran, pemaksaan atau manipulasi kanak-kanak.

Kanak-kanak yang dianggap sebagai golongan lemah adalah mangsa utama kerana mereka tidak mampu mempertahankan diri atau memahami sepenuhnya apa yang berlaku.

Apabila membicarakan soal jenayah ini, terma pedofilia akan digunakan secara meluas bagi merujuk kepada jenayah itu ataupun pelaku jenayah.

Pedofilia bermaksud satu gangguan psikologi di mana seseorang individu dewasa atau remaja berusia 16 tahun ke atas mempunyai kecenderungan seksual yang kuat dan berulang terhadap kanak-kanak yang belum mencapai akil baligh, biasanya berusia 13 tahun ke bawah.

Walaupun istilah ini sering digunakan secara umum untuk merujuk kepada jenayah ini dalam konteks klinikal, pedofilia adalah satu gangguan mental yang diakui tetapi tidak semestinya melibatkan tindakan fizikal.

Apakah Bentuk Jenayah Ini Yang Biasa Berlaku?

Antara bentuk jenayah seksual yang biasa dilakukan oleh suspek ialah penderaan fizikal yang melibatkan hubungan fizikal dengan kanak-kanak tanpa persetujuan mereka.

Hal ini boleh merangkumi rogol, sentuhan seksual atau bentuk lain interaksi seksual tanpa kerelaan mangsa.

Keadaan ini bukan sahaja akan menyebabkan kanak-kanak mendapat kecederaan akibat paksaan namun boleh mendatangkan maut kerana dibunuh oleh penjenayah.

Jenayah ini juga berlaku melalui eksploitasi yang merupakan keadaan di mana mangsa digunakan untuk kepentingan seksual seseorang seperti dalam kes pelacuran kanak-kanak atau pengeluaran bahan pornografi yang melibatkan kanak-kanak.

Selain itu, bentuk grooming adalah tindakan pesalah yang menggunakan manipulasi emosi untuk mempengaruhi kanak-kanak agar bersetuju atau merasa selesa dengan perbuatan seksual.

Hal ini boleh berlaku melalui media sosial, perbualan dalam talian atau secara langsung sehingga memerangkap mangsa menerima ajakan pesalah untuk membuat perbuatan yang terlarang.

Kemajuan teknologi yang memudahkan orang ramai untuk mengakses segala maklumat di dalam telefon bimbit menyebabkan jenayah ini sukar dibendung.

Sehinggakan tidak terkecuali kanak-kanak kini yang semakin berani untuk mengajak rakan-rakan sebaya mereka berbual tentang perkara yang lucah terutamanya di platform media sosial.

Pencegahan kepada jenayah ini perlu dimainkan peranan oleh semua pihak selain kerajaan bagi memastikan masyarakat yang dibentuk di Malaysia nanti lebih sihat fizikal dan mentalnya.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Jangan Cabar Identiti Nasional Malaysia

Next Post

Adakah Nadir Bumi Di Malaysia Boleh Jadikan Negara Ini Kaya?

Related Posts