Bangi: Orang ramai dinasihatkan bertindak rasional dan tidak dibuai emosi ketika mengikuti kes pengabaian dan penganiayaan remaja Sindrom Down dikenali sebagai Bella.
Bahkan, sebarang komen atau provokasi yang boleh mengganggu proses perbicaraan hendaklah dielakkan sementara kes masih dibicarakan di mahkamah, saran Setiausaha Agung BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim.
“Saya faham banyak hujah-hujah tidak logik yang diviralkan. Semua orang marah.
“Tapi doa dan sokongan moral lebih diperlukan bagi kita menegakkan kebenaran dalam kes ini.
“Teruskan berdoa dan berharap!” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengingatkan orang awam supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan perjalanan prosiding kes menganiaya Bella.
Hakim Izralizam Sanusi memberi peringatan itu selepas pihak pendakwaan menaikkan isu kepada mahkamah bahawa orang ramai masih membuat hantaran di laman sosial.
Mengulas lanjut, Lukman berkata, kes #justiceforbella semakin mendapat tempat di hati seluruh rakyat Malaysia.
“Ini merupakan satu petanda sangat positif yang menunjukkan rakyat Malaysia begitu prihatin, penyayang dan cakna terhadap nasib kanak-kanak terutama yang istimewa dan tidak terbela,” katanya.
Kes Bella tular di media sosial tahun lalu selepas seorang wanita mendakwa remaja perempuan itu disimbah dengan air panas dan diikat ketika berada di bawah jagaan Rumah Bonda, sebuah rumah kebajikan pertubuhan bukan kerajaan.
Susulan itu, pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 30, didakwa atas dua pertuduhan mengabaikan serta mendera remaja berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.
Siti Bainun didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sumber – Ismaweb