Bangi – Meskipun pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan bermula 1 Mei ini di seluruh negara disambut baik banyak pihak, namun sebenarnya masih memerlukan kajian secara mendalam.
Ini kerana, Setiausaha Agung BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim Mohamad yakin sekiranya perbincangan dan penelitian lebih mendalam dilakukan, pekerja di negara ini akan menikmati gaji minima yang lebih tinggi dari yang ditetapkan.
Atas dasar itu, beliau berpendapat, pelaksanaan gaji minimum ketika ini adalah tindakan tergopoh-gapah dan keputusan separa masak kerajaan Keluarga Malaysia demi mendapat undi mudah menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bakal tiba.
Lukman berkata, solusi yang lebih baik ialah menguatkuasakan gaji minimum yang berbeza mengikut jenis pekerja – tempatan atau asing – industri dan negeri berdasarkan kos sara hidup dan purchasing power parity (PPP).
Memberi contoh di Amerika Syarikat (AS), beliau berkata, gaji minimum sebanyak AS$1,200 dikuatkuasakan di peringkat nasional namun setiap negeri boleh mengenakan gaji minimum yang lebih tinggi.
“Semua negeri di AS meletakkan gaji minimum yang lebih tinggi dari kadar di peringkat nasional
“Begitu juga dengan India yang mempunyai lebih 1,000 jenis gaji minimum dengan jumlah yang berbeza mengikut pekerja, industri dan tahap kelulusan serta kemahiran pekerja
“Konsep yang sama digunakan di banyak negara lain termasuk Kanada dan China, juga negara-negara Asean lain seperti Vietnam, Filipina dan Indonesia. Persoalannya, kenapa kita terburu-buru?,” soalnya.
Sebelum ini, kerajaan memberi jaminan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 akan tetap dilaksanakan pada 1 Mei ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pendirian itu kekal sekali gus turut mengesahkan yang kerajaan tidak akan membuat pusingan U berhubung pelaksanaan kadar gaji baharu berkenaan.