KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman mendedahkan, peruntukan kawasannya diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh tiga hari setelah beliau umum sokong kerajaan.
Menurut Suhaili, tiada sebarang syarat yang ditandatangani sebagai balasan susulan sokongan dinyatakan beliau terhadap kerajaan seperti mana dakwaan banyak pihak.
“Bila nak minta peruntukan, kenalah isytihar yang kita sokong kerajaan. Itu saja. Tak ada syarat kena tandatangan, itu semua fitnah.
“Saya umum (sokong kerajaan) kepada media, keesokannya saya mohon peruntukan, dua hari kemudian PM dah luluskan.
“Sebelum ini, saya guna habis elaun ahli Parlimen untuk kos pejabat, bayar kakitangan, bantu pesakit buat rawatan lanjutan ke Kota Kinabalu, bakul makanan untuk miskin tegar dan banyak lagi. Hampir setiap bulan tak ada baki,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini media melaporkan, Suhaili menerima peruntukan dalam tempoh seminggu setelah mengumumkan sokongan terhadap kepimpinan Anwar dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor pada 30 Oktober lalu.
Dalam pada itu, Suhaili berkata, peruntukan bersyarat bagi ahli Parlimen pembangkang yang didakwa hasil perbincangan dilakukan pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini tiada dalam pengetahuannya.
Justeru, tindakan beliau mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Anwar adalah keputusan peribadi untuk memperoleh peruntukan demi tanggungjawab kepada rakyat Labuan.
“Sebenarnya kita tak pernah diajak berbincang tentang syarat-syarat yang dibawa oleh pucuk pimpinan. Kita tak tahu mereka buat keputusan dan menolak untuk berbincang atau memeterai perjanjian tanpa memanggil kita.
“Sepatutnya minta pandangan kita patut atau tidak (tandatangan syarat). Bila mereka (pucuk pimpinan) buat keputusan (menolak), kita mesti ikut tapi jadi masalah kepada rakyat di kawasan, bukan mereka,” jelasnya.
Suhaili berkata, pada hematnya, setelah mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan, ahli Parlimen pembangkang layak menerima manfaat sama diperoleh ahli Parlimen kerajaan, namun enggan mendedahkan jumlah peruntukan yang diterima.
Bagaimanapun tegas beliau, sokongan terhadap kerajaan tidak bermakna parti sendiri ditinggalkan atau diabaikan.
“Saya tidak meninggalkan parti. Saya masih sayang dan cintakan parti. Cuma saya juga cintakan rakyat. Saya perlukan pertolongan.
“Di mana jenayahnya apabila wakil rakyat mendahulukan rakyat yang mengundinya?” soal beliau.
Sumber: Sinar Harian