Bangi: Tatkala rakyat bersimpati dengan nasib remaja perempuan Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella, Datuk Seri Rina Harun seolah-olah sibuk mencari ‘publisiti’.
Ini selepas Menteri Pembangunan Keluarga dan Masyarakat memaklumkan bahawa kementeriannya sedia bekerjasama dengan peguam Tunku Mahkota Johor dalam prosiding kes penderaan Bella.
Sebelum ini, Rina berkata, niat murni Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menawarkan peguam percuma untuk menjalankan arahan memerhati bagi pihak kementerian berhubung kes penderaan Bella, 13, amat membantu bagi menegakkan keadilan kepada remaja terbabit.
Kenyataan beliau itu susulan Tunku Ismail memaklumkan menghubungi peguamnya dan akan berhubung dengan Rina bagi menawarkan perkhidmatan guaman secara percuma untuk menjalankan arahan memerhati bagi pihak kementerian berhubung kes penderaan remaja berkenaan.
Terdahulu, Tunku Ismail senada dengan isteri baginda, Che Puan Besar Khaleeda Bustamam yang berkongsi pendirian sama bagi membantu menuntut keadilan buat remaja perempuan OKU berkenaan.
Mengulas perkara itu, Ketua Pemudi BERJASA, Azliza Rajiain menyifatkan, kenyataan dikeluarkan Menteri Pembangunan Keluarga dan Masyarakat tidak membawa apa-apa manfaat kepada beliau.
“Manakan tidak, tindakan yang dibuat hanyalah selepas namanya disebut oleh kerabat diraja,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Selain itu, beliau turut mengecam video tular yang memaparkan pertemuan Rina dan Bella.
Katanya, intipati video itu jelas menunjukkan ketidaksediaan Bella menerima kunjungan orang luar ditambah dengan barisan kamera yang tertumpu kepada remaja itu.
“Saya sangat bersimpati terhadap Bella yang terpaksa berhadapan dengan individu yang hanya mencari publisiti murahan.
“Saya katakan, tindakan Rina Harun ini hipokrit! KPWKM seharusnya menjadi pihak pertama untuk bertindak dengan segera bagi membantu kes ini seawal hari pertama.
“Hilang kepercayaan kami terhadap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa,” katanya.
Sumber – Ismaweb