Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim masih lagi dilihat tidak senada dalam pelbagai aspek. Lebih malang lagi mereka kurang memberi fokus yang terbaik dalam mengetengahkan suara rakyat, mereka lebih kehadapan dalam bersuara tentang agenda survival parti politik masing-masing.
Gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional semakin menampakkan keretakkan. Begitulah gambaran yang diberikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri dan beliau juga menyatakan penggabungan dua parti ini seperti ‘kahwin paksa’ bakal berpecah atau tidak lagi dapat bersama pada masa hadapan.
Namun isu ‘kahwin paksa’ ini disangkal oleh Anthony Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan dengan menyatakan kerjasama politik tidak boleh disamakan dengan ‘kahwin paksa’ kerana pembentukan Kerajaan Perpaduan untuk mendapatkan kestabilan politik selepas PRU15 setelah mendapat nasihat yang Yang di-Pertuan Agong.
Baru-baru ini, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong, Presiden MCA dan Anthony Loke pula mengecam antara satu sama lain berkaitan harga tiket kelas ekonomi bagi penerbangan Kuala Lumpur – Tawau sangat tinggi dan tidak munasabah.
Situasi yang berlaku ini menampakkan bahawa mereka bukan dalam satu pasukan yang sama dan seperti pihak kerajaan dan pembangkang sebagaimana sebelum ini.
Mereka perlulah bertindak secara profesional dan lebih berkredibiliti kerana rakyat sedang memerhatikan mereka.
Konflik dalaman antara kepimpinan tertinggi parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan nampaknya masih tiada persefahaman dan seolah-olah retak menanti belah.
Nampaknya setelah beberapa bulan Kerajaan Perpaduan memerintah, keadaan politik negara masih lagi tidak stabil. Seharusnya keyakinan rakyat sudah mula diraih terutama dengan watak ahli-ahli politik matang dan berminda terbuka. Bukan mereka yang cepat melatah dan hanya berfikiran sempit.
Basyirah Yasin
NASTRACOM
Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Gelombang BERJASA dan parti BERJASA.