Sejuta Pelancong China Bakal Ke Melaka Sahaja

pelancong china

MELAKA – Anak syarikat Golden Eagle Broadcasting System (GBS) iaitu Mango Media Sdn. Bhd. berkolaborasi bersama Perbadanan Melaka Holdings (PMH) Travel & Event Sdn. Bhd. bagi membawa masuk pelancong dari negara China ke Melaka.

Kerjasama itu dimeterai menerusi Majlis Pertukaran Perjanjian Kerjasama disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Seri Negeri, hari ini.

Menurut Ab Rauf, syarikat GBS iaitu syarikat media berpengaruh di China telah bersetuju membawa satu juta pelancong dari negara itu membabitkan pelbagai wilayah ke Negeri Melaka dalam tempoh dua tahun.

“Mango Media akan mempromosi Melaka melalui dua strategi iaitu penjualan langsung dalam talian di platform ‘XHS’ dan TikTok melibatkan pempengaruh (influencer) terkemuka dalam pasaran untuk mempromosi Melaka kepada pengguna dalam talian di China.

“Mereka akan melakukan penjualan luar talian menggunakan ‘Hunan Broadcast’ yang mempunyai banyak saluran televisyen bagi mempromosi Melaka secara meluas melalui siaran televisyen tradisional.

“Ini sudah pasti akan memperluaskan lagi capaian kepada seluruh pelancong berhubung keistimewaan Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pertukaran perjanjian kerjasama itu di Bilik Bijasura Seri Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Timbalannya, Datuk Zaidi Attan; Penasihat Khas Pelaburan dan Hal Ehwal Negara China kepada Ketua Menteri Datuk Lim Ban Hong; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP) Datuk Mohd Yusof Abu Bakar; Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Melaka Holdings (PMH), Siti Ainshah Osman; Pengarah Eksekutif Mango Media Sdn. Bhd., Datuk Ge Yamei dan lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata kerjasama itu mampu merangsang pertumbuhan ekonomi Negeri Melaka menerusi sektor pelancongan berikutan kejayaan GBS sebelum ini yang berjaya mempromosi lokasi terpencil di wilayah China.

“Lokasi tersebut telahpun menerima limpahan pengunjung dan peningkatan ekonomi komuniti setempat sehingga kini.

“Saya percaya usaha ini berpotensi memberikan manfaat ekonomi yang signifikan kepada Negeri Melaka, selain memperkukuhkan kedudukan Melaka sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini,” katanya.

Sebelum ini juga, heboh diperkatakan mengenai lebih 1.2 juta warga China dikesan tidak keluar dari Malaysia selepas tiba ke negara ini dalam tempoh di antara 2018 hingga 2021. Hal ini ditambah lagi dengan pengecualian visa yang diperkenalkan oleh kerajaan sebelum ini yang berisiko membawa ancaman keselamatan kepada negara.

Hal ini juga telah menimbulkan pelbagai spekulasi daripada kalangan rakyat awam yang mempersoalkan ketidakseriusan kerajaan dalam mengatasi isu ini. Ada pihak yang mendakwa mereka ini sengaja diprojekkan untuk tidak hadir pulang dari Malaysia untuk menjadi ‘warganegara’ di sini.

SUMBER – Melaka Hari Ini

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post
PRK KKB

Kerajaan Mula Agihkan Peruntukan Di Hulu Selangor Sebelum PRK KKB

Next Post
peruntukan pembangkang

Kerajaan Perlu Telus Dalam Berikan Peruntukan Politik

Related Posts