Bangi – Penurunan nilai mata wang Ringgit tidak seharusnya dipandang ringan oleh kerajaan walaupun ia adalah satu kebiasaan atau normal yang dihadapi oleh nilai mata wang negara yang lain.
Walaupun ia normal dalam ketidaktentuan ekonomi global sekarang namun kerajaan perlu hadir dengan perancangan yang utuh untuk menyelesaikan isu ini.
Pemuda BERJASA, Isma Aiman berkata kejatuhan nilai Ringgit ini mungkin dalam satu sisi pandangan dilihat baik untuk Malaysia kerana negara-negara luar akan tertarik untuk membeli barangan eksport milik Malaysia.
Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara pengguna maka pendapatan Malaysia banyak didasarkan atas perdagangan eksport. Jadi benarlah yang apa dikatakan bahawa penurunan nilai Ringgit ada kebaikan dan manfaatnya.
Namun demikian, beliau mempersoalkan sampai bilakah negara ingin terus bergantung dengan produk negara luar dan hanya mengekalkan ‘darjat’ sebagai negara pengguna.
Tegas beliau, Malaysia sememangnya banyak memfokuskan kepada eksport namun barangan eksport itu hanya bahan mentah sahaja yang masih belum diproses sepenuhnya dan menjadikan harga barang eksport itu murah. Adakah ia menguntungkan negara dari segi perolehan pendapatan?
“Kita perlu maklum bahawa barangan eksport yang didagangkan oleh negara kita tidak diproses kepada barang siap atau barang separuh siap. Ia hanya bahan mentah sahaja maka harganya agak murah. Jika ada pun, mungkin dalam kuantiti sedikit.”
“Jadi penurunan nilai mata wang Ringgit yang dikatakan dapat memberikan kebaikan kepada negara dalam pasaran eksport agak kurang tepat. Memandangkan negara kita merupakan negara pengeluar bahan mentah utama, permintaan masih ada walaupun nilai Ringgit meningkat”, tegas beliau kepada Gelombang BERJASA.
Beliau turut berkata bahawa faktor naik turun nilai Ringgit ini banyak didorong oleh faktor Amerika Syarikat (AS) yang menaikkan kadar faedahnya sebenarnya sengaja dilakukan bagi menurunkan nilai mata wang negara-negara lain.
Ini dibuat bagi membolehkan AS dapat membeli bahan mentah daripada negara lain dengan harga yang murah memandangkan mereka merupakan negara industri yang terbesar di dunia.
“Kita setuju ia disebabkan oleh faktor luaran kesan tindakan daripada AS yang menaikkan kadar faedahnya namun kerajaan juga perlu proaktif dan agresif untuk melindungi nilai mata wang Ringgit daripada terus jatuh ke paras yang paling terendah. Bukannya hanya menerima kejatuhan itu dengan bersahaja”, kata beliau.
Setakat ini Ringgi telah ditutup rendah berbanding dollar AS (USD) dengan nilai 1 USD bersamaan RM4.62.