Kerajaan yang ditadbir oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kini seakan tidak boleh menerima kritikan yang dilontarkan kepada mereka sama ada daripada pihak media, rakyat mahupun ahli politik. Apa-apa kritikan yang dilontarkan kepada mereka akan disekat atas sebab mencetuskan kegusaran awam sehingga berisiko mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat.
Baru-baru ini kerajaan telah menyekat akaun Tik Tok dan laman web milik TV Pertiwi atas sebab yang tidak jelas daripada kerajaan sedangkan syarikat media tersebut hanya memberikan laporan dan ulasan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini. Amat menghairankan jika ulasan yang diberikan tidak memihak kepada kerajaan perpaduan sekalipun, tidak perlu menekan media tersebut sehingga menyekat mereka di media sosial.
Selain daripada TV Pertiwi, dahulunya portal berita Malaysia Now yang dikendalikan oleh pengulas politik iaitu Raja Petra Kamarudin juga disekat oleh kerajaan kini. Laungan dan prinsip kebebasan bersuara seakan telah dibakul sampahkan oleh kerajaan yang sewaktu ketika dahulu begitu mengangkat hak kebebasan media ketika menjadi pembangkang
Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Fahmi Fadzil memberi jaminan bahawa tiada laman web berita akan disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Namun nampaknya Fahmi Fadzil sendiri telah menjadi orang yang terlampau bermusuh dengan kebebasan bersuara kerana khuatir dengan realiti yang berlaku kini.
Penyekatan terhadap badan media yang dibuat oleh kerajaan dengan bertujuan untuk mengelakkan laungan kritikan daripada terus meluas sebenarnya makin menampakkan kelemahan kerajaan secara nyata kepada rakyat. Hakikatnya juga kerajaan sekarang hanya takut dengan bayang-bayang sendiri dan masih berada di dalam mood ‘denial syndrome’ yang kronik.
Amad
Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Gelombang BERJASA atau parti BERJASA.