Bangi – Kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang mengatakan tiada subsidi kepada peniaga yang menyediakan Menu Rahmah mendapat respon balas daripada Naib Presiden BERJASA, Ir Ts Lukman Al-Hakim.
Beliau yang dihubungi berkata, kerajaan sepatutnya memberikan insentif kewangan kepada para peniaga yang menyertai program menu rahmah berharga RM5 bagi satu hidangan makanan.
Ini bagi menggalakkan lebih ramai peniaga menyertai program ini di seluruh negara dan seterusnya mampu mengurangkan bebanan rakyat yang kurang berkemampuan.
Beliau berpendapat agak mustahil untuk para peniaga mampu bertahan menyediakan Menu Rahmah ini dalam tempoh yang lama memandangkan kos bahan mentah tiada tanda akan turun.
Tambah beliau, jika subsidi tidak diberikan, inisiatif mulia ini akan mati begitu sahaja walaupun pada asasnya tiada paksaan untuk para peniaga menyediakan Menu Rahmah.
Kebimbangan ini ada asasnya kerana kita risau lama-kelamaan tiada lagi pengguna yang sanggup menyahut seruan kerajaan untuk menyediakan Menu Rahmah.
Bagi menjayakan Menu Rahmah ini, para pembekal bahan mentah juga sepatutnya mengambil bahagian dengan menurunkan harga mereka di pasaran namun sayangnya kerajaan dilihat langsung tidak melihat daripada sudut pandang ini.