Bangi – Tesla baru-baru ini merancang untuk membangunkan penggunaan bateri berasaskan besi yang lebih murah kepada versi trak elektrik semi berat dan kenderaan elektrik mampu milik.
Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk berkata, sebahagian besar trak elektrik akan berasaskan sel besi.
Perancangan terbaru Tesla ini telah mendapat respon daripada Naib Presiden BERJASA, Afif Badhrulhisham yang melihat ini sebagai satu peluang terbesar untuk Malaysia memanfaatkan sumber mineral secara sepenuhnya.
Beliau menegaskan bahawa, kejayaan Malaysia menarik minat Tesla untuk membuka ibu pejabat dan pusat pengalaman di sini adalah satu pencapaian yang besar namun itu tidak cukup memberi manfaat kepada Malaysia selaku tuan rumah pelaburan bersama Tesla.
“Kenyataan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk yang ingin menghasilkan kenderaan elektrik mampu milik adalah satu peluang yang baik bagi Malaysia”.
“Malaysia sepatutnya mula memanfaatkan peluang ini dengan terlibat sekali dalam pembuatan kereta elektrik (EV) ini, bukannya hanya melombong sumber besi dan memberikan akses sepenuhnya kepada Tesla untuk membangunkannya secara tunggal”.
“Benar manfaat yang lain adalah pekerja-pekerja mahir kita akan terlibat sekali dalam proses pembuatan EV tersebut tetapi itu dalam kerja pemasangan sahaja. Apa yang saya inginkan adalah kita terlibat sekali dalam pembuatan teknologinya memandangkan sumber besi itu diambil daripada negara kita”, tegas beliau.
Nilai anggaran sumber mineral di Malaysia yang dilaporkan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim adalah sebanyak RM4.11 trillion.
Nilai yang besar bakal menjadikan Malaysia sebagai hab penting di peringkat global dalam pembangunan industri mineral pada masa akan datang.
Tambah beliau lagi, Malaysia berupaya untuk menunjukkan kuasa nasionalnya di peringkat serantau mahupun antarabangsa melalui penguasaan kepada sumber mineral ini.
Malaysia sepatutnya sudah mula mengorak langkah dengan menjadi negara pengeluar teknologi tinggi bukannya masih berada dalam kumpulan negara pengguna.
Tesla Inc adalah multinasional Amerika Syarikat (AS) yang beribu pejabat di Austin, Texas yang terbabit dalam bidang autommotif, kecerdasan buatan dan tenaga bersih.
Kemasukan Tesla ke Malaysia telah dipermudahkan oleh MITI melalui pengenalan inisiatif ‘BEV Global Leaders’ bagi tujuan membantu meningkatkan permintaan Kenderaan Bateri Elektrik (BEV) dalam pasaran tempatan dan menggalakkan pembangunan keseluruhan ekosistem untuk menyokong penggunaan BEV.