Johor – Ketua Wanita BERJASA Johor, Puan Hajah Azizah Che Awang tampil mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengembalikan pendidikan negara kita kepada teras nasional dengan mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam kaedah pembelajaran dan pengajaran di sekolah rendah dan menengah.
Tegas beliau, kemajuan sesebuah negara bukanlah kerana rakyatnya belajar dalam Bahasa Inggeris tetapi kerana kesungguhan mereka menguasai ilmu samada dalam bidang pemikiran, sains dan teknologi.
Beliau mengambil contoh negara Jepun dan Korea Selatan yang berjaya menjadi negara pengeluar teknologi tinggi dan mengekalkan bahasa ibunda masing-masing di dalam pendidikan.
Menjadi persoalan yang besar apabila KPM memperkenalkan Program Dwibahasa (DLP) pada 2016 sedangkan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) terbukti gagal untuk dipraktikkan di dalam pendidikan negara kita.
Jurang pendidikan di sekolah luar bandar dan bandar akan menjadi besar kerana tahap penguasaan bahasa Inggeris yang berbeza sama sekali.
Jika benar KPM memperkenalkan DLP secara rintis pada 2016 itu adalah di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), kenapa perlu melibatkan matapelajaran lain seperti Sains dan Matematik?
KPM patut mengekalkan dan fokus kepada elemen- elemen dalam MBMMBI seperti CEE ( Creating English Environment), bulan bahasa dan sebagainya.
Terdahulu, Majlis Perundingan Melayu (MPM) mencadangkan kepada KPM agar dimansuhkan Program Dwibahasa (DLP) yang ketika ini dilaksanakan di sekolah rendah dan menengah.