KUALA LUMPUR – Cadangan Anggota Lembaga Program Latihan Ijazah Lanjutan Kepakaran atau ‘Parallel Pathway’ UiTM-IJN, Raja Amin Raja Mokhtar untuk kemasukan ke UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera iaitu untuk kursus pengajian pascasiswazah jelas mengundang kontroversi. Orang ramai beranggapan cadangan itu seakan satu usaha untuk mengganggu hak Bumiputera yang sedia termaktub di dalam Perlembagaan.
Kenyataan yang ditimbulkan oleh Raja Amin Raja Mokhtar ini muncul susulan pelajar yang terlibat dalam Persekutuan Kolej Pakar Bedah Diraja Edinburgh dalam Pembedahan Kardiotoraks (FRCS Ed) ditolak permohonan mereka dalam Pendaftaran Pakar Kebangsaan (NSR) oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC) berikutan sijil itu tidak diiktiraf.
Cadangan Raja Amin ini secara pantas mendapat respon daripada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir yang mempertahankan pengekalan status Bumiputera sebagai institusi yang menerima pelajar Bumiputera sahaja.
Menurut Zambry, perkara itu tidak pernah dibincangkan di dalam mana-mana mesyuarat di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mahupun Kabinet.
Beliau menegaskan KPT berpegang teguh kepada Fasa 1A Akta 173 – UiTM ditubuhkan menurut dan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan sentiasa terjamin dan dijaga oleh kerajaan.
Jika dilihat kepada isu ini secara mendalam, isu ini sengaja dibangkitkan untuk dijadikan sebagai polemik dan dimainkan oleh pihak tertentu yang cuba menganggu-gugat polisi serta objektif asal penubuhan UiTM sekali gus menimbulkan kecelaruan dan perbalahan pelbagai pihak.
UiTM sepatutnya terus dipertahankan objektif penubuhannya untuk menyediakan peluang kepada kaum Bumiputera untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi lagi.
Satu persoalan yang ingin ditanya kepada pihak yang mendesak agar UiTM dibuka kepada semua kaum, adakah universiti ataupun institusi pengajian tinggi lain tidak dibuka kepada kaum lain juga?