Perdebatan mengenai pembentukan Bangsa Malaysia menjadi perdebatan hangat daripada dahulu lagi. Mereka menganggap Bangsa Malaysia perlu diwujudkan bagi menggambarkan aspirasi Malaysia yang meraikan semua kaum. Hal ini juga bermaksud hak sama rata perlu diperkenalkan kepada semua kaum bagi mewujudkan Bangsa Malaysia itu.
Namun begitu, perbincangan ini tidak selari pula dengan seruan untuk mewujudkan pendidikan satu aliran sahaja dengan alasan ini akan mengancam budaya kaum Cina dan India. Ahli politik yang pro kepada sistem pendidikan vernakular sering tegaskan bahawa menjadi satu hak untuk kaum Cina dan India mengekalkan sistem pendidikan vernakular masing-masing.
Mereka juga menambah bahawa perpaduan boleh dibentuk di rumah maka isu sekolah vernakular yang merencatkan perpaduan kaum tidak seharusnya ditimbul berulang kali. Dakwaan ini agak pelik kerana kenyataan itu seakan mengehadkan pltaform untuk mengukuhkan perpaduan kaum di Malaysia.
Rumah sememangnya boleh menjadi satu institusi didikan terdekat kepada rakyat Malaysia tentang pentingnya perpaduan kaum namun apa salahnya jika sekolah juga diberikan peluang sama untuk menjadi ejen perpaduan kaum. Di rumah ia hanya terhad dalam persekitaran keluarga sahaja namun sekolah dapat memberikan impak yang lebih besar kepada murid-murid apabila mereka dapat bercampur gaul dengan rakan-rakan daripada pelbagai bangsa.
Mereka hanya pandai memberikan alasan untuk tidak memansuhkan sistem vernakular kerana tidak dapat melupakan sentimen budaya kaum masing-masing tetapi dengan tidak malunya ingin terus memperjuangkan pembentukan Bangsa Malaysia.