Shah Alam – Program Jom Ziarah rumah ibadat lain selain masjid anjuran Impact adalah salah satu bentuk dakyah halus untuk menormalisasikan pluralisme agama di Malaysia.
Itu tegas Ketua Penerangan BERJASA, Mohd Hamdan yang melihat program sebegini menyentuh sensitiviti agama Islam kerana berniat untuk mengatakan semua agama adalah sama.
Beliau mempersoalkan apakah tujuan menggunakan istilah “ziarah” yang sinonim dengan Melayu Islam di Malaysia daripada sumber bahasa Arab. Ia boleh membawa konteks yang salah dan menimbulkan kekeliruan terutama kepada belia Muslim.
“Tindakan dakyah agama lain secara terang- terangan dan mempromosikannya perlu dikekang walaupun secara asasnya pengamalan agama di Malaysia adalah bebas”.
“Kita faham Malaysia memang memperuntukkan pengamalan agama lain boleh dilakukan secara bebas namun cukup sekadar itu sahaja iaitu penganut-penganut lain boleh mengamalkannya tanpa halangan. Bukannya bertindak mempromosikan kepada orang lain secara terang-terangan”.
Jika menggunakan Perlembagaan untuk membenarkan program sedemikian dijalankan, saya rasa itu seakan mengambil kesempatan dan menyalah tafsirkan maksud peruntukkan itu sendiri”.
Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan di Parlimen bahawa program Jom Ziarah diadakan untuk meraikan semangat perpaduan kaum di kalangan rakyat Malaysia terutamanya belia dengan menggunakan peruntukkan Perlembagaan bahawa agama-agama lain selain Islam bebas diamalkan.