SHAH ALAM – Kenyataan yang dikeluarkan oleh Lembaga Sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) daripada 11 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SJMC) dan Sekolah Menengah Cina (SMC) di Pulau Pinang yang membantah sekeras-kerasnya terhadap perlaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di satu kelas jelas menimbulkan kritikan daripada pihak ramai. Mereka menegaskan bantahan ini disepakati bersama ibu bapa murid sekolah mereka.
Ketua Penerangan BERJASA, Mohd Hamdan Mohd Sharif nyata terkejut dengan kenyataan tersebut yang dilihat tidak selari dengan aspirasi kerajaan untuk mengangkat perpaduan. Beliau menempelak sekeras-kerasnya semua ahli PIBG SJMC dan SMC yang melakukan bantahan itu sedangkan mereka menerima peruntukan dana daripada kerajaan.
Beliau berpendapat kelompok ini sering meremehkan paksi bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara serta lebih mengangkat identiti negara luar di dalam negara ini.
“Saya menyokong penuh inisiatif Kementerian Pendidikan untuk memartabatkan bahasa Melayu, dengan hanya bukan sekadar tertumpu untuk sebuah kelas sahaja malahan semua kelas di sekolah terbabit wajib menggunakan bahasa Melayu berbanding bahasa Inggeris ketika ini”.
“Saya ingin tegaskan mana-mana pihak yang menentang arahan tersebut merupakan penentang kepada perlembagaan negara dan menentang titah raja-raja Melayu. Mereka wajar diambil tindakan dan sepatutnya ditarik kerakyatan mereka sebagai orang Malaysia. Tindakan melampau dan biadap mereka ini tidak boleh dibiarkan berlarutan”, tegas beliau.
Selain itu juga, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dalam satu sidang media pada Khamis pula tampil mempertahankan bantahan berkenaan.
Menurut beliau, tiada isu menentang penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, sebaliknya mahu DLP dalam subjek Sains dan Matematik dilaksanakan tanpa syarat agar ibu bapa bebas membuat pilihan untuk anak-anak mereka.