Kerajaan tetap berpendirian teguh dengan pemansuhan UPSR dan PT3 dengan mengatakan dua peperiksaan ini sudah tidak lagi relevan.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengekalkan keputusan pemansuhan UPSR dan PT3 yang dibuat pada tahun 2021 dan 2022 serta ingin memfokuskan kepada pemerkasaan pentaksiran Pendidikan Berasaskan Sekolah (PBS).
Beliau mendakwa UPSR dan PT3 sudah tidak lagi relevan berbanding PBS yang bersifat lebih holistik kerana merangkumi pentaksiran berorientasikan perkembangan murid secara keseluruhan.
Namun begitu, ahli akademik tampil mempersoalkan tindakan KPM itu kerana sehingga kini tiada lagi impak positif kepada pendidikan nasional selepas pemansuhan dua peperiksaan besar itu.
Ahli akademik Anuar Ahmad berkata pihak awam terutamanya ibu bapa amat ingin mengetahui sama ada pemansuhan UPSR dan PT3 ini meningkatkan motivasi murid untuk belajar atau sebaliknya.
Beliau juga mempersoalkan mengenai data yang dibentangkan oleh KPM yang hanya mengambil maklum balas seramai 100 hingga 200 orang murid sahaja bagi menunjukkan keberhasilan PBS itu.
Sebaiknya pandangan yang ingin diambil untuk mengumpul data ini dilibatkan sekali guru-guru yang terlibat bagi mengetahui sama ada pemansuhan peperiksaan ini meningkatkan kemahiran mengajar mereka ataupun menyukarkan tugas pengajaran guru.
Murid Ambil Lewa Kesan Kepada Pemansuhan UPSR Dan PT3
Laporan akhbar pada September yang lalu ada melaporkan berlaku keciciran kira-kira 10,177 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas yang berpunca daripada masalah membaca, menulis dan mengira (3M).
Murid Tahun Satu juga mengalami masalah yang sama apabila data menunjukkan lebih 120,000 murid Tahun Satu bagi sesi 2024/2025 masih gagal menguasai 3M selepas tiga bulan pembelajaran dan pengajaran (PdP).
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyatakan rasa setujunya jika cadangan untuk mengembalikan UPSR diadakan kerana beliau berkata berlakunya penurunan drastik terhadap pencapaian murid sekolah rendah dalam Ujian Kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (UKKM) terutama pelajar luar bandar dan daripada keluarga berpendapatan rendah.
Ibu bapa juga ada menyatakan kekhuatiran mereka yang melihat ketiadaan peperiksaan besar dan berpusat ini menyebabkan anak-anak mereka mengambil sikap lewa terhadap pelajaran dan tidak serius untuk belajar.
Murid-murid akan berasa selesa kerana tiadanya sasaran yang ingin dicapai yang akhirnya akan memberi kesukaran kepada guru-guru untuk mengajar mereka.
Penulis bersetuju untuk mengatakan bahawa murid-murid tidak patut dijadikan sebagai tikus makmal namun semestinya diharapkan agar kerajaan untuk merangka satu dasar pendidikan nasional yang berkesan dan menyeluruh untuk semua murid dan guru.
Sudahlah dasar pendidikan nasional kita sudah cacat dengan wujudnya sekolah vernakular kini rakyat Malaysia tidak mahu pula dasar pendidikan ini menjadi caca marba dengan tiadanya sasaran yang jelas untuk murid dan guru.