Saban tahun rakyat Malaysia disajikan dengan kes buli di sekolah di media massa sehingga meninggalkan kesan yang mendalam apabila mangsa buli mengalami kecacatan kekal ataupun lebih teruk lagi mati.
Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk tahun 2023 dan 2024, data menunjukkan kes buli melonjak mendadak kepada 4,994 kes dari Januari hingga Oktober dengan keseluruhan kes yang dilaporkan melebihi 5,300 kes pada tahun tersebut.
Tahun 2024 pula iaitu setakat Oktober tercatat 6,208 kes buli di sekolah seluruh negara sedikit berkurangan dari 6,528 kes pada tahun 2023 tetapi masih tinggi berbanding tahun sebelumnya.
Statistik yang terdapat di dalam laporan yang dikeluarkan oleh KPM ini nyata membimbangkan kerana jumlah kes buli mencecah angka ribuan.
Hal ini menampakkan seakan kes buli sudah menjadi satu norma kebiasaan di sekolah dan tiada penyelesaian tuntas untuk isu ini tidak berlaku lagi.
Terbaharu, negara digemparkan dengan tragedi kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah.
Selain Allahyarham Zara Qairina Mahathir, kematian Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin yang merupakan kadet Palapes Universiti Teknologi Malaysia (UTM) juga menyentak hati rakyat Malaysia setelah diberitahu keadaan beliau ketika dirawat di hopsital.
Kedua-dua insan ini meninggal di kawasan yang berlainan tetapi punca kematian mereka tetap sama iaitu disyaki berpunca daripada perlakuan buli hingga membawa maut.
Masih Tiada Solusi Yang Kukuh Untuk Bendung Gejala Buli Di Sekolah?
Pelaku buli ini seakan tidak mengambil pengajaran daripada kes yang menimpa Allahyarham Zulfarhan yang maut ketika diseksa secara kejam oleh rakannya di kolej kediaman mahasiswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
KPM sudah pun memperkenalkan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli yang terkini melalui Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bilangan 12 Tahun 2023.
KPM juga melakukan kerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jawatankuasa Permuafakatan KPM-PDRM dan melantik Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dari PDRM di setiap sekolah untuk membantu memantau dan menangani isu buli dengan lebih efektif.
Walaupun sudah banyak langkah dan cara yang dibuat oleh kerajaan mahupun pihak sekolah untuk mencegah buli daripada terus berlaku namun kes sebegini masih tetap berlarutan hingga membawa kepada kematian.
Sekolah yang pada asalnya ditubuh bermatlamatkan cita-cita untuk melahirkan pemimpin masyarakat yang berilmu akhirnya tersasar dengan melahirkan pembunuh.
Langkah Pencegahan Sudah Mula Boleh Dibuat Dengan Keras
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sudah pun mengikuti langkah yang dilakukan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Seri Asyraf Wajdi dengan melancarkan kempen #YouTouchYouGo sebagai amaran kepada pembuli.
Persoalannya sejauh manakah keberkesanan kempen ini dalam mencegah gejala buli daripada terus berlaku di sekolah?
Amaran dan hukuman kepada pembuli sudah lama dimaklumkan kepada murid-murid di setiap sekolah oleh guru-guru mereka namun mereka masih berani untuk membeli.
Mungkin selepas ini hukuman yang berat dan tegas boleh dibuat seperti mengenakan hukuman 5 tahun tidak boleh bersekolah di sekolah yang berada di bawah KPM.
Dalam memastikan pembelajaran akademiknya tidak terputus, pelaku buli boleh melanjutkan pelajaran di sekolah juvana walaupun kesalahan buli yang dilakukan adalah kecil dan besar – kecacatan dan kematian.
Hukuman yang berbentuk pengasingan ini boleh memberikan hukuman berbentuk psikologi kepada pelaku dalam menunjukkan bahawa tiada tempat untuk pembuli di mata masyarakat.
Sebelum ini pelaku buli dibuang sekolah dan mudah untuk diterima masuk di sekolah lain namun sewajarnya hukuman menjadi lebih tegas dengan membekukan kemasukan mereka ini selama 5 tahun di mana-mana sekolah kerajaan.