Bangi – Ura-ura penukaran nama Putra kepada Gerakan Tanah Air (GTA) untuk imej yang baharu hangat dibincangkan di dalam media arus perdana.
Presiden BERJASA, Zamani Ibrahim ketika dihubungi berkata penukaran nama Putra kepada GTA hanya ura-ura yang masih tidak pasti lagi kesahihan beritanya.
“Saya ada berhubung melalui telefon dengan Presiden Putra, Dato’ Dr. Ibrahim Ali berkenaan berita tersebut. Beliau berkata Putra tidak merancang sebarang perancangan penggantian nama parti kepada GTA”.
“Saya syak ini hanya khabar angin daripada mana-mana pihak yang belum dipastikan kesahihannya cuma saya sempat beritahu kepada beliau jika benar ada perancangan sedemikian, seeloknya dibawa ke Mesyuarat Tertinggi GTA untuk dibawa berbincang bersama parti komponen yang lain iaitu BERJASA, Putra dan Iman”.
“Buat masa ini GTA masih lagi terdiri daripada ketiga-tiga parti tersebut selain Pejuang yang menarik diri keluar dan segala perbincangan berkenaan perancangan untuk pakatan ini perlu dibawa berbincang secara bersama”.
Ketika diminta untuk mengulas berkenaan kerjasama dengan Perikatan Nasional,(PN), beliau menegaskan BERJASA sebenarnya terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti demi penyatuan ummah.
“Kami daripada BERJASA memang pernah berhubung dengan PN untuk diajak bekerjasama sejak tahun 2020 lagi. Saya tegaskan di sini bahawa BERJASA amat terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti yang memfokuskan kepada penyatuan bangsa khususnya Melayu”.
“BERJASA meletakkan kesejahteraan rakyat yang utama di dalam politik dan soal kerjasama dengan pihak yangh lain tiada masalah asalkan agenda rakyat diangkat tinggi dalam soal ekonomi, agama dan bangsa”.
Terdahulu, tercetusnya khabar angin laporan daripada portal berita nasional yang melaporkan Putra akan menukarkan nama kepada GTA sebagai nama baharu bagi parti politik itu.
Kini, GTA hanya dikenali sebagai satu pakatan politik yang terdiri daripada BERJASA, Putra dan Iman selain Pejuang yang menarik diri keluar daripada pakatan tersebut.